GENERASI KE-4 JAMES BROOKE, RAJAH PUTIH SARAWAK


Kemunculan pertama piut Rajah Charles Brooke, Jason Brooke, 23, ke Sarawak, selepas 67 tahun Bumi Kenyalang bebas daripada belenggu penjajahan British sememangnya mengimbau 1,001 kenangan yang sukar dilupakan. Wartawan Norma Mullie, menemu bual Jason di hotel penginapannya di Kuching, semalam.

Selamat datang ke Sarawak. Mungkin boleh ceritakan serba sedikit kunjungan anda ke sini?


Saya memang sudah lama mengidam untuk datang ke Sarawak kerana negeri ini sentiasa dekat di hati keluarga kami. Peluang mendapat jemputan daripada Kerajaan Negeri Sarawak untuk menyaksikan Regatta Sarawak sempena 45 tahun Sarawak maju dalam Malaysia, tidak saya lepaskan. Saya tiba di Kuching, Ahad lalu dan akan pulang 9 Ogos nanti.

Anda keturunan Rajah Brooke ke berapa?

Kira-kira 140 tahun lalu, moyang saya Rajah Charles Antoni Johnson-Brooke mengambil alih tampuk pemerintahan Sarawak daripada pak cik beliau, Rajah James Brooke, yang juga orang kulit putih pertama memerintah Sarawak mulai 1842 sehingga 3 Ogos 1868. 
Saya pula generasi keempat keluarga itu. Bapa saya juga dinamakan James Brooke, kini tinggal bersama saya di Dublin, manakala datuk saya, Anthony Brooke, kini berusia 60 tahun menetap di New Zealand serta ibu Karen Brooke menetap di Paris.

Pernahkah datuk atau bapa anda bercerita mengenai Sarawak dan apakah gambaran yang mereka berikan?

Berdasarkan cerita mereka, Sarawak seakan-akan negeri di bawah kayangan dan pengalaman keluarga saya di sini diibaratkan kisah dongeng . Setiba di sini, barulah saya mengetahui cerita mereka benar dan saya mengakui negeri ini memang sangat indah dari segi pemandangan semula jadi dan penduduknya juga begitu ramah.

Bagaimana perasaan anda apabila mengetahui mengenai asal-usul anda daripada keluarga Brooke, yang pernah menjajah Sarawak satu ketika dulu? 

Sebelum datang ke Sarawak banyak persoalan bermain di minda saya. Ini kerana sejak kecil lagi saya memang sudah didedahkan dengan pelbagai sejarah keluarga saya yang pernah memerintah Sarawak selama 100 tahun dan saya juga mengkaji sendiri mengenai fakta berkaitan kedatangan mereka ke Sarawak melalui buku. Namun saya tidak boleh memberikan gambaran sebenar. Selepas benar-benar menjejakkan kaki ke sini, akhirnya banyak persoalan di kepala saya terjawab. Sebelum ini pun, Sarawak memang sentiasa bermain di bibir keluarga kami dan negeri ini memang sebahagian daripada hidup saya walaupun tidak pernah memijak kaki ke sini. Saya bangga kerana keluarga saya mempunyai kaitan rapat dengan Sarawak.

Persepsi anda mengenai Sarawak sebaik menjejakkan kaki ke sini?

Negeri ini terlalu indah dan patutlah ahli keluarga kami yang pernah ke sini memang menggalakkan kami berkunjung ke Sarawak. Saya juga terharu melihat kerajaan negeri mengekalkan banyak bangunan dibina datuk saya di Kuching termasuk Kubu Magherita, Muzium Sarawak, Pejabat Pos Besar dan Astana. Saya seakan kembali ke zaman silam ketika keluarga saya masih berada di sini, walaupun mereka sudah meninggal dunia. Saya juga kagum melihat lebih 30 suku etnik di Sarawak hidup aman damai sehingga ke hari ini.

Apakah kenangan manis yang akan anda bawa pulang ke England?

Keramahan penduduk Sarawak ialah perkara yang paling menyentuh perasaan saya kerana walaupun baru beberapa hari di sini, saya diterima dengan baik oleh mereka, malah saya terasa seperti selebriti pula. Saya pasti akan kembali bersama keluarga saya untuk menjelajah seluruh Sarawak dan mengenali negeri ini dengan lebih dekat lagi. Saya juga bercadang membukukan pengalaman peribadi serta pembabitan keluarga saya di Sarawak sejak abad ke-19 dulu.