KONSPIRASI JATUHKAN PM, 3 TAN SRI PERLU TAMPIL BERI PENJELASAN - ROSNI ZAHARI
Published On
Thursday, August 25, 2016
By
The Malaysia News Online
KUALA LUMPUR: Saya merujuk kepada laporan media berkenaan kenyataan Tun Dr. Mahathir, bekas Perdana Menteri Malaysia, yang mendedahkan cubaan menggulingkan Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, dalam satu konspirasi yang dikatakan didalangi oleh Tan Sri Zeti Akhtar, Tan Sri Abdul Gani Patail dan Tan Sri Abu Kassim Mohamed.
Saya mengambil pendedahan konspirasi ini sebagai satu dakwaan yang amat serius kerana ia, jika benar benar berlaku, merupakan satu bentuk penderhakaan berdasarkan kepada sistem demokrasi berperlembagaan yang diamalkan di negara ini. Ianya bukanlah satu dakwaan yang boleh diambil ringan kerana hukuman berat menanti sesiapa yang cuba menjatuhkan kerajaan yang dipilih secara demokrasi melalui pilihanraya yang sah.
Sekiranya pendedahan ini tidak benar dan merupakan satu fitnah, saya mendesak ketiga-tiga individu yang dinamakan iaitu Tan Sri Zeti Akhtar, Tan Sri Abdul Gani Patail dan Tan Sri Abu Kassim Mohamed supaya tampil membuat penjelasan serta melakukan akuan bersumpah menafikan dakwaan ini. Mereka juga harus mengambil tindakan untuk menyaman Tun Dr. Mahathir kerana cuba mencemarkan nama baik dan rekod cemerlang perkhidmatan mereka dahulu apabila mengaitkan mereka dengan satu jenayah yang amat berat.
Tan Sri Zeti Akhtar, Tan Sri Abdul Gani Patail dan Tan Sri Abu Kassim Mohamed tidak boleh hanya berdiam diri terhadap pendedahan Tun Dr. Mahathir mengenai konspirasi mengaitkan mereka untuk menjatuhkan Perdana Menteri Malaysia kerana ia merupakan satu dakwaan yang berat maka tidak berbuat apa-apa bukanlah satu pilihan. Tindakan perlu diambil terhadap Tun Dr. Mahathir dan Sarawak Report.
ROSNI HAJI ZAHARI
KETUA PENERANGAN WANITA UMNO MALAYSIA