BERITA KENAIKAN KADAR TOL DI 17 LEBUH RAYA ADALAH PALSU


SUBANG JAYA: Laporan berhubung kenaikan kadar bayaran tol di 17 buah lebuh raya utama yang 'viral' di laman sosial kononnya bermula 16 November ini adalah palsu.

Timbalan Yang Dipertua Persatuan Syarikat-Syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia (PSKLM), Sazally Saidi berkata, maklumat tersebut merupakan berita yang dikitar semula.

“Berita tersebut mengatakan kadar tol akan naik pada Isnin, 16 November ini sedangkan tarikh itu jatuh pada hari Rabu. Kementerian Kerja Raya telah memaklumkan kenyataan mengenai perkara itu sebelum ini.

“Saya mewakili persatuan ingin menjelaskan sekali lagi bahawa perkara itu tidak benar,” katanya dalam sidang akhbar berhubung pelaksanaan sistem pembayaran tol elektronik (ETC) di Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) dan Lebuhraya Senai-Desaru (SDE) di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Pengawasan Tol Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Idrus Mat Tais; Ketua Pegawai Eksekutif Touch ‘n Go Sdn. Bhd., Syahrunizam Samsudin; Ketua Pegawai Eksekutif SDE, Jamal Abd. Nasir Tahrim dan Ketua Biro Komunikasi PSKLM, Mohammad Fuad Khusairi. Sumber


0 comments: