Presiden MIC, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, sejak selesai krisis dalaman parti pada November lalu, ahli parti telah mula mengorak langkah menyusun pelbagai strategik baharu untuk memenangi hati rakyat dan menghadapi cabaran PRU nanti.


Katanya, buat masa ini, pimpinan tertinggi parti telah mula turun padang berjumpa rakyat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mencari formula baharu selain mendampingi rakyat bagi mendengar permasalahan mereka serta dalam masa sama berusaha menyelesaikannya.

“Setelah krisis tempoh hari, saya yakin kita juga telah mendapat semula momentum perjuangan parti. Banyak perubahan ketara dalam pergerakan parti.

”Setiap hari pasti sahaja ada perkara baharu sama ada dari saya atau pun sayap,” katanya dalam sidang akhbar selepas Bengkel Kepimpinan dan Pelancaran Ops Mantap di sini hari ini.

Tambah Subramaniam, penyatuan parti adalah penting untuk menggerakkan sokongan daripada rakyat, seterusnya memenangi pilihan raya umum itu.

“Dalam keadaan landskap politik yang sangat mencabar sekarang, ahli MIC terutamanya pemimpin harus memahami kredibiliti yang rakyat mahukan daripada mereka,” ujarnya.

Dalam masa sama beliau meminta Pemuda MIC memberi fokus kepada beberapa perkara dalam aspek politik bagi memastikan parti mendapat kejayaan yang cemerlang dalam PRU-14.
www.utusan.com