TENGKU MAHKOTA PAHANG MERASMIKAN PROMOSI TAHUN MELAWAT PAHANG 2017


Kerajaan Negeri Pahang melalui Tourism Pahang hari ini telah merasmikan MAJLIS PELANCARAN PROMOSI TAHUN MELAWAT PAHANG 2017. Pelancaran rasmi peringkat kebangsaan ini adalah sebagai platform untuk mengetengahkan pelbagai destinasi menarik serta acara-acara hebat yang bakal mewarnai kemeriahan Tahun Melawat Pahang 2017. Program promosi yang telah dirancang melibatkan pelbagai medium seperti media sosial, media massa, pameran, roadshow dan acara di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

Acara perasmian ini telah disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang,Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'inBillah. Acara ini juga akan turut dihadiri Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Adnan bin Haji Yaakob, Ketua Pengarah Tourism Malaysia, YH Dato’ Seri Mirza Mohammad Taiyab serta Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang iaitu YB Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar bin Haji Shamsudin.

Acara pada kali ini dilihat berbeza jika dibandingkan dengan acara pertama Pelancaran Promosi Tahun Melawat Pahang 2017 yang telah berlangsung pada bulan April yang lalu di Kuantan Pahang yang mana telah memperkenalkan logo rasmi iaitu (Hogoh Pahang) dan maskot rasmi (Mat Jumbo) bagi Kempen Tahun Melawat Pahang 2017. Majlis yang diadakan pada hari ini telah memperkenalkan salah satu lagu promosibagi Kempen Tahun Melawat Pahang 2017.

Lagu ini telah dijayakan bersama pihak Perbadanan Filem Nasional (FINAS) dalam usaha untuk menarik perhatian pelancong dalam dan luar negara bagi merasai sendiri keunikan dan kemeriahan yang bakal disajikan sepanjang Tahun Melawat Pahang 2017. Lagu  ini juga bukan sahaja berperanan untuk merancakkan lagi kempen ini, bahkan ianya bertujuan memperkenalkan sendiri kepelbagaian destinasi pelancongan yang terdapat di 11 daerahnya yang mana merangkumi tiga koridor utama iaitu ‘Highlands’,  ‘Nature and Adventure’ dan ‘Islands and Beaches’


Negeri Pahang sememangnya terkenal kerana mempunyai keunikan tersendiri yang tidak terdapat pada negeri-negeri lain. Negeri terbesar di Semenanjung Malaysia ini memiliki khazanah semulajadi yang tidak ternilai seperti hutan hujan tropika, gua-gua yang masih terpelihara serta pelbagai jenis flora dan fauna. Apa yang menjadikan pengalaman berkunjung ke Negeri Pahang ini lebih menarik adalah kerana ianya juga kaya dengan pelbagai adat dan budaya  masyarakat yang terdiri daripada  pelbagai kaum.

Majlis Pelancaran Promosi Tahun Melawat Pahang 2017 pada kali ini telah dihadiri oleh 350 orang tetamu yang terdiri daripada pelbagai agensi dan jabatan Kerajaan Peringkat Negeri dan Persekutuan, badan-badan bukan kerajaan & syarikat swasta, pengurusan tertinggi hotel terkemuka, agensi-agensi pelancongan, pengusaha syarikat pengangkutan, editor-editor majalah serta rakan media bagi memeriahkan majlis tersebut.


Bagi memeriahkan lagi acara ini, beberapa buah kenderaan pacuan 4 roda dengan logo rasmi Hogoh Pahang turut dipamerkan. Pacuan empat roda ini adalah kenderaan rasmi yang bakal digunakan bagi kembara jelajah ke 15 buah negara yang bermula dari Kuantan, Pahang dan berakhir di Kota London sebelum berlangsungnya pelancaran Tahun Melawat Pahang 2017 di ‘World Travel Market’                (WTM London)’. Setiap destinasi persinggahan sepanjang perjalanan tersebut akan turut berlangsungnya promosi bagi Tahun Melawat Pahang 2017. 

Selain itu, acara ini turut diselitkan dengan pameran daripada penganjur-penganjur acara dan pengusaha-pengusaha hotel Negeri Pahang yang mengetengahkan acara-acara menarik sepanjang 2017 selain memperkenalkan produk-produk pelancongan Negeri Pahang.


Dengan kepelbagaian program dan promosi yang telah dirangka ini, Tahun Melawat Pahang 2017 yang menyasarkan ketibaan 15 juta pelancong pastinya akan berlangsung dengan meriah dan jayanya.

Untuk maklumat lanjut mengenai Tahun Melawat Pahang 2017, sila layari:

Laman Web:www.pahangtourism.org.my
Facebook: facebook.com/tourismpahang
Instagram: tourismpahang
Twitter: tourismpahang
Telefon: 09-531 5904