TRAGEDI AMUK : WANITA UMNO GESA KAJI PUNCA MASALAH


KUALA KUMPUR: Saya mewakili semua ahli Pergerakan Wanita UMNO merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga  Allahyarhamah Puan Mariah Binti Baharim, Pengerusi Tetap Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Tangga Batu yang telah pulang ke rahmatullah bersama dua lagi ahli keluarga beliau dalam tragedi pembunuhan yang berlaku di kediaman mereka di Bertam Malim semalam.

Saya berasa amat sedih atas kejadian yang menyayat hati ini yang berlaku dalam keluarga besar Wanita UMNO. Pemergian Allahyarhamah Mariah pastinya dirasai oleh setiap insan yang mengenali beliau terutamanya rakan-rakan seperjuangan dalam Wanita UMNO apatah lagi dalam musim Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian yang sedang berlangsung di seluruh negara.

Wanita UMNO mendesak pihak-pihak yang terlibat untuk mengkaji semula punca permasalahan sosial yang menjurus kepada perlakuan amuk supaya langkah-langkah awal dapat diambil untuk mengelakkan tragedi pembunuhan dan mencederakan seperti yang berlaku ke atas keluarga Allahyarhamah Puan Mariah di Bertam Malim, Melaka ini.

Sehubungan dengan itu, Pergerakan Wanita UMNO Malaysia bersama-sama Pergerakan Wanita UMNO Negeri Melaka akan mengadakan Majlis Tahlil dan bacaan Yasin  untuk Allahyarhamah Puan Mariah Binti Baharim dan keluarga. Doa kami mengiringi Allahyarhamah Puan Mariah agar rohnya dan dua lagi ahli keluarganya ditempatkan bersama orang-orang yang beriman. Kami juga berdoa semoga dua lagi anak Allahyarhamah yang dicederakan akan kembali pulih.

SHAHRIZAT ABDUL JALIL
KETUA PERGERAKAN WANITA UMNO MALAYSIA