APA MEKANISMA KERAJAAN UNTUK MENANGANI KENAIKAN HARGA GULA? - PROWARIS


Harga gula mentah dilaporkan oleh pemborong dijangka akan terus meningkat dari RM2,680 kepada lebih RM3,000 pada awal Oktober 2016. Peningkatan ini pasti akan memberi kesan kepada pengguna khususnya rakyat Malaysia yang turut sama akan menanggung bebanan berganda apatah lagi kebanyakan restoran dan produk makanan dan minuman yang diproses ada yang dikenakan GST.

Kesan yang dapat dilihat adalah seperti berikut sekiranya peningkatan harga gula tidak dikawal oleh Kerajaan UMNO-BN:

1. Rakyat marhean terutama golongan berpendapatan rendah akan terkesan dari peningkatan ini kerana golongan ini menggunakan gula seharian sebagai salah satu bahan untuk penyediaan makanan dan minuman seisi rumah.

2. Harga makanan dan minuman di restoran, kedai makan dan warung akan meningkat kerana peniaga terpaksa meningkatkan harga makanan dan minuman untuk menampung kos. Ini akan memberi kesan berganda kepada pengguna kerana apabila harga makanan dan minuman meningkat, nilai GST untuk makanan dan minuman yang perlu dibayar juga turut meningkat.

3. Industri yang memerlukan gula sebagai bahan mentah seperti makanan, minuman, ubat-ubatan berasaskan syrup, dan lain-lain lagi terpaksa menaikkan harga produk dan barangan mereka untuk menampung kos. Rakyat sekali lagi akan terbeban kerana rata-rata produk makanan dan minuman yang diproses dengan menggunakan gula sebagai bahan mentah akan meningkat sekaligus meningkatkan perbelanjaan rakyat.

Persoalannya, apakah mekanisme Kerajaan UMNO-BN dalam menangani hal ini. Gula merupakan salah satu bahan keperluan rakyat marhean untuk makanan dan minuman. Sekiranya, harga gula di pasaran dunia terus meningkat berterusan, adakah Kerajaan UMNO-BN akan menaikkan harga gula tersebut. 

Kerajaan UMNO-BN sememangnya tidak akan memberi subsidi sebaliknya akan turut menaikkan harga setelah hampir semua subsidi ditarik kerajaan di bawah kepimpinan Dato' Seri Najib Razak. 

Rakyat akan terbeban lagi setelah harga barangan keperluan kini naik mendadak ekoran adanya GST. Kemana pula perginya pungutan cukai GST berjumlah berbillion ringgit yang sepatutnya diguna untuk kepentingan Rakyat Malaysia?

Untuk rekod, harga gula sekilogram di pasaran Malaysia adalah RM2.84

Feriz Omar
Presiden & Pengasas
Pertubuhan Profesional Melayu & Pewaris Bangsa (ProWaris)

0 comments: