Pada majlis berkenaan, saya berpeluang berucap dan mengambil kesempatan menyentuh soal pembangunan negara dan bagaimana pendidikan khususnya pengajian tinggi dapat memberi sumbangan dalam menyokong kesejahteraan rakyat. 


Sewaktu diamanahkan sebagai Menteri Pengajian Tinggi dari April 2008 hingga Mei 2013, saya mahu melihat sektor pengajian tinggi bukan sahaja dapat memenuhi tuntutan kecemerlangan akademik, tetapi turut menyumbang kepada kemakmuran masyarakat. Atas sebab itu, saya memilih untuk menyebut menara ilmu dan bukan menara gading bagi merujuk universiti di negara ini. 



Tiga prinsip capai negara maju 



Apabila kerajaan memperkenalkan Model Baharu Ekonomi (MBE) pada tahun 2010, tiga prinsip penting dipilih menunjanginya iaitu berpendapatan tinggi, keterangkuman dan kelestarian. Pengukuhan ketiga-tiga prinsip itu dapat meningkatkan kualiti hidup rakyat seiring hasrat Malaysia menjadi negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. 
Saya menyentuh soal keterangkuman atau inklusiviti kerana percaya pembangunan dan kemajuan negara tidak bermakna jika ia gagal membolehkan semua komuniti menikmati kekayaan dan kemajuan negara sepenuhnya. 



Prinsip keterangkuman dalam MBE menyasarkan tiada kumpulan yang dipinggirkan dan keperluan asas rakyat dipenuhi. Namun, senario dunia masa kini amat membimbangkan. Menurut laporan Forum Ekonomi Dunia, hampir separuh kekayaan dunia hanya dimiliki oleh satu peratus penduduk. Malah, aset 85 orang terkaya di dunia menyamai 3.5 bilion masyarakat dunia selebihnya. 



Kita tidak harus membenarkan situasi sama berlaku di Malaysia kerana pembangunan negara mesti menyeluruh, sehingga semua rakyat menerima nikmatnya. Pembangunan menyeluruh dan inklusif akan kekal menjadi retorik jika kita hanya sekadar melaungkannya. Malah, banyak pihak melihat pembangunan inklusif hanya dapat dijayakan oleh badan korporat dan entiti perniagaan kerana ia memberi keuntungan nyata dan segera. 



Pembangunan menyeluruh dan inklusif hanya berlaku jika semua potensi rakyat dipertingkatkan melalui akses kepada pendidikan. Hanya melalui pendidikan, seseorang individu dapat mengupayakan potensi sebenar mereka seterusnya memperbaiki taraf hidup. 



Penyampai teknologi baharu 



Ketika petani perlu meningkatkan hasil pertanian, usahawan kecil memerlukan model perniagaan baharu untuk bersaing dalam persaingan digital dan generasi muda memerlukan kemahiran terkini yang relevan. Semua ini memerlukan peranan universiti dan sumbangan komuniti dengan memindahkan ilmu dan teknologi baharu kepada masyarakat. 



Universiti wajar memperkukuhkan sifat inklusif dengan kemelut masyarakat dan negara. Inilah peranan universiti. Mendidik, melakukan pencerahan melalui pengamatan dan penyelidikan serta memberi khidmat kepada masyarakat. 



‘The public good role’ sebuah universiti tidak boleh dipinggirkan hanya kerana ia mempunyai peranan dalam pertumbuhan ekonomi dan menjadi instrumen daya saing pada peringkat global. 



Selain pendidikan, kita memerlukan strategi jangka panjang untuk mencapai pembangunan inklusif. Antaranya melalui keusahawanan yang menjana ketahanan ekonomi serta mengaplikasikan kreativiti dengan mewujudkan pasaran dan pekerjaan baharu. 



Menjayakan pembangunan inklusif memerlukan strategi tepat. Promosi serta galakan dalam perusahaan kecil dan sederhana (PKS) perlu dipergiatkan. Sektor PKS perlu dibantu kerana ia banyak melahirkan kumpulan usahawan yang seterusnya menjadi tumpuan kepada penciptaan pekerjaan baharu. PKS juga boleh menjadi tempat pemindahan inovasi hasil penemuan, penyelidikan atau pemindahan ilmu dari universiti. 



Berbanding industri berat yang bergantung kepada teknologi tinggi diimport, PKS adalah tempat terbaik untuk memasarkan inovasi dan teknologi tempatan untuk menghasilkan produk serta perkhidmatan berkualiti, seterusnya menjana pembangunan inklusif. 



Tidak dinafikan pembangunan inklusif bergantung kepada usaha memperkasa pendidikan dan keusahawanan. Kemampuan kita menjayakan pendidikan dan keusahawanan akan memberi kemakmuran kepada rakyat. Peluang memperbaiki taraf hidup rakyat akan terjamin dengan adanya mereka yang terdidik dan memilih menjadi usahawan. 



Penulis ialah Menteri Besar Johor
Berita Harian