Polis Nafi Berlaku Serangan Dua Kaum

SHAH ALAM 19 April. Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Suprintendan Goh Lee Fook menafikan dakwaan bahawa lima individu Melayu maut dibunuh di sebuah gerai di Pelabuhan Klang, kelmarin.

"Kita yakin ia adalah berita palsu dan tidak menolak kemungkinan ada melibatkan unsur perkauman.

"Kita akan siasat di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 selain turut mengesan dari mana domainnya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Dalam Whatsapp berkenaan, terdapat peringatan kepada orang Melayu supaya tidak menaiki motosikal pada waktu siang dan malam di kawasan Klang, Pandamaran dan Pelabuhan Klang.

Selain itu, aplikasi sosial berkenaan juga melaporkan seramai lima Melayu mati dibunuh di gerai makan Char Kuew Teow, Pelabuhan Klang tanpa sebab oleh beberapa orang India yang menyerang secara ganas tanpa sebab.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Mohd Shukri Dahlan semalam, turut menolak khabar angin tersebut yang didakwa berniat jahat dan boleh mencetuskan huru-hara serta masalah perkauman di negara ini.

"Hasil siasatan mendapati tiada sebarang laporan mengenai kejadian seumpama itu. Polis mengesahkan tiada sebarang bukti dan maklumat yang menyokong dakwaan tersebut.

"Dakwaan seperti ini boleh menggugat ketenteraman orang awam," katanya, semalam.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah mempercayai sebarang khabar angin yang tersebar di laman sosial dan perlu mendapatkan maklumat daripada sumber yang sah bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini. Sinar Harian

0 comments: