Allah menghantar Alifah Ting, Dyana Sofya dan Dr Noha supaya kita semua sebagai umat Islam dapat memahami dan menghayati Islam sebagai satu kebenaran dan manhaj hidup yang diturunkanNya untuk mengatasi segala ideologi ciptaan manusia.
Alifah Ting Leh Ping kini adalah ikon sebenarnya bagi generasi muda, remaja dan para siswazah. Namanya melonjak naik hanya kerana mempertahankan sebuah keyakinan yang berjaya dibina dalam masa setahun sahaja.
Ini adalah satu pencapaian yang luar biasa bagi seorang mualaf berbangsa Cina untuk memahami dan menghayati sesuatu keyakinan, tanpa dipaksakan atau diindoktrinasikan. Tidak sedikit manusia Muslim yang bergelumang di menara gading, mencapai pelbagai gelaran di sana sini, bergesel bahu dengan tokoh-tokoh terbilang tetapi memiliki worldview dan pegangan hidup yang bertentangan dengan Islam.
Ting Leh Ping tidak memilih untuk menjadi objek cemuhan yang bertali arus hingga mencapai seribu lebih komen-komen menghina saban hari hanya kerana berani mempertahankan keyakinan dan membela pemimpin organisasinya. Lemparan kata-kata kesat, cemuhan, cacian dan maki hamun sudah melebihi batas-batas kewajaran seolah-olah mereka yang “membenci”nya sudah kerasukan syaitan dan pelesit secara kolektif.
Kecekalan dan kekuatan hatinya sewajarnya dicontohi dan dicemburui.
Dalam usianya yang masih muda, beliau telah mempamerkan satu qudwah tentang kesabaran, keyakinan, kecekalan dan kemantapan gerak langkahnya. Yang menjadi saingannya bukan calang-calang orang. Beliau sebenarnya menghadapi satu kekuatan raksasa yang dicetak dari kilang parti politik yang sekular, rasis dan berteraskan ideologi sosialisme.
Yang membelanya hanyalah teman-teman beliau dari organisasi yang dianggotainya, individu-individu Muslim yang ikhlas dan beberapa organisasi Islam tempatan. Ada yang memilih untuk bersimpati kepada beliau secara diam. Ada juga yang turut bergembira dan bertepuk tangan di atas ujian yang sedang beliau lalui.
Kulluna Alifah Ting!
Kita/Kami semua adalah Alifah Ting!
Kini muncul pula Dyana Sofia.
Satu sosok wanita yang menjulang namanya sebagai seorang wanita Islam yang bakal bertanding di dalam pilihan raya kecil Teluk Intan. Oleh kerana beliau berpegang kepada keyakinan dan ideologi parti DAP yang begitu rasis, beliau tidak menghadapi ribuan cemuhan, caci dan cercaan, maki hamun mahupun penghinaan sebagaimana yang dialami oleh Ting Leh Ping.
(Malah ada sumber yang mendakwa bahawa berita fitnah dan tohmah terhadap beliau adalah rekaan yang berasal dari bilik gerakan dan propaganda DAP sendiri untuk membina satu imej yang dapat menyaingi imej Alifah Ting) dan juga untuk meraih simpati untuk beliau dari para pengundi.
Parti rasis sekular DAP berteraskan ideologi sosialisme menjadi tempat bernaung dan teduhan Dyana Sofia. Satu kredit kepada parti DAP kerana berjaya merekrut dan mengindoktrinasikan seorang wanita Islam sebagai kader dan ayam tambatan mereka. Beliau adalah “darling” bagi media maya dan media alternatif pro-pembangkang dan juga bakal menjadi “cover girl” majalah wanita, kalau kena gayanya.
Sepertimana Alifah Ting berbangga dan yakin dengan NGO Islam pilihan hatinya, Dyana Sofia juga berbangga dan begitu yakin dengan parti Malaysian Malaysia DAP itu.
Yang membezakan mereka berdua, antara lain ialah resepsi yang mereka terima dari tentera pejalan kaki maya (footsoldiers dan cybertrooper kacang Merah) dan bagaimana mereka berdua menterjemahkan keyakinan agama mereka.
Anda jangan terkejut kalau terbaca suara-suara sumbang yang mempertahankan ketidakpatuhan beliau kepada batasan-batasan aurat seorang wanita Melayu yang berugama Islam. Mereka kata yang penting adalah jasa dan sumbangan beliau kepada amalan hak asasi, ketelusan, kebebasan insan, perjuangan kesamarataan dan agenda Malaysian Malaysia. Bab aurat dan keyakinan kepada Islam adalah “secondary” dan sudah jatuh ke tangga kedua.
Beliau adalah harapan ahli-ahli parti DAP untuk melakar kejutan dengan menawan hati para pengundi Teluk Intan.
Dyana juga ikon baru gabungan parti-parti politik pembangkang.
Dan yang telah mengalahkan mereka berdua (Alifah dan Dyana) adalah seorang wanita Mesir yang membuat pengakuan bahawa beliau adalah mantan wanita yang berpegang kepada fikrah Salafi.
Keceluparan mulutnya dan kebiadaban hatinya terhadap Allah, RasulNya, KitabNya dan MalaikatNya boleh membuatkan Iblis menjadi terlalu terkejut dan malu. Sikap beliau yang zahir memusuhi Islam telah ditangani dengan begitu bijaksana dan bersemangat sekali oleh sang pengacara. Paradoksnya di sini Dr Noha menutup auratnya tetapi begitu konsisten dan terlalu ghairah dalam sikap negatifnya terhadap asas-asas ajaran dan agama Islam. “Keberanian” beliau membakar sentimen anti-Islam telah dijawab dengan lebih lantang dan tegas oleh pengacara yang tidak pula menutup aurat!
Pengacara itu patut dipersalahkan dalam urusan menutup aurat (tetapi masih dalam lingkungan boleh ditunjuk ajar dan diperbaiki secara dakwah bil hikmah, dialog dan engagement). Bagaimanapun, “jenayah” Dr Noha (yang terpaksa “menutup” auratnya – sebab takut akan keselamatannya, dan bukannya untuk mematuhi perintah Syara’) terhadap Islam adalah lebih besar lagi. Ini kerana beliau telah melanggar semua asas dalam keyakinan dan iktikad seorang Muslim.
Di sini, kita perhatikan bahawa meskipun pengacara itu tidak menutup aurat, beliau sangat faham akan apa akibat dan natijah daripada ikrar dua Kalimah Syahadah. Setiap satu butiran penolakan Dr Noha terhadap Islam telah dipatahkan dengan cepat dan tangkas oleh sang pengacara, hatta kepada isu hudud, pelaksanaan Syari’ah dan hukuman potong tangan terhadap pencuri.
Satu pemerhatian yang boleh dinyatakan di sini adalah seseorang itu boleh melakukan dosa tertentu di dalam hidupnya (atas sebab apa sekalipun), tetapi beliau tetap masih boleh mempertahankan asas-asas penting dalam Islam apabila asas-asas itu dicabar secara terang-terangan. Dalam erti kata lain, darah Iman dan kecintaan kepada Islam masih mengalir dalam saluran darah dan jantung umat ini. Ia bisa dibangunkan kembali dengan sentuhan yang lembut dan berhikmah, juga sepantasnya dengan izin dan limpah kurnia dari Allah juga.
Sebaliknya, setiap penolakan dan pembangkangan terhadap asas-asas Islam pasti ada kesombongan dan kebongkakan di dalamnya. Yang mengemudi pemberontakan terhadap sisitem hidup yang diturunkan Allah hanyalah hawa nafsu dan ego manusia. Kehebatan atau pencapaian akademik bukan lagi satu kriteria mutlak yang boleh membawa seseorang itu kepada hidayah Allah. Ilmu dan kedudukan malah boleh bertukar menjadi medium dan pengantara yang bakal mengundang kemurkaan dari Allah.
Ketiga-tiga contoh di atas adalah (pada pandangan penulis) pencerminan kepada satu pertempuran ideologi antara Islam dan Jahiliyah, antara hawa nafsu dan hidayah, antara kebenaran dan kepalsuan juga antara Haq dan Batil.
Peperangan yang perlu dan terpaksa dihadapi oleh umat Islam dewasa ini berbentuk serangan ideologi dan penaklukan terhadap minda dan jati diri umat Islam sendiri. Parang, lembing, tombak, panah dan pisau sudah tidak digunakan lagi. Persenjataan masa kini adalah media massa, internet, papan kekunci, organisasi dan para tokoh, tulisan-tulisan dan hebahan-hebahan.
Ia bukan lagi antara tentera Sultan Salahuddin dengan tentera Salib.
Medan pertempuran yang bakal menentukan survival dan masa depan umat Islam sedang berlangsung sekarang, di depan mata kita.
Di satu penjuru adalah Islam manakala di penjuru lain adalah kelompok ideologi-ideologi ciptaan manusia – Liberalisma, Sekularisme, Sosialisme, Rasisme, Humanisme, Kristianisasi, Pluralisme dan hak asasi tajaan Barat.
Alifah, Dyana dan Dr Noha hanyalah figura-figura yang dipertontonkan kepada kita untuk membantu kita menentukan sikap, pilihan dan pendirian sebagai Muslim – sama ada kita memilih Islam atau selain dari Islam.
Pastinya masa depan adalah milik Islam.
Tetapi pilihan itu masih di tangan kita …
Muhammad Luttfi Abdul Khalid
Yang Dipertua ISMA Sg Petani