KASTAM DI RAJA MALAYSIA AKAN DI KORPORAT TAHUN HADAPAN

SUNGAI PETANI Mei 18. Jabatan Kastam Diraja Malaysia akan dikorporatkan pada tahun hadapan, kata Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah.
   
Beliau berkata langkah tersebut amat baik dalam usaha meningkatkan produktiviti anggota Kastam.
   
"Hasil cukai yang dikutip turut bertambah dan akan disumbangkan kepada negara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bangunan Pejabat Kastam (Penguatkuasaan) bernilai RM13.02 juta di Tanjung Dawai dekat sini hari ini.
   
Beliau berkata kajian mengenai perkara itu telah siap dan pindaan beberapa akta berkaitan cukai dibuat dan akan dibentang di Parlimen Oktober depan.
   
Katanya, jabatan itu mengambil contoh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang selepas dikorporatkan berjaya menyumbang hasil begitu tinggi kepada negara.

Mohd Irwan berkata tahun lepas Kastam menyumbang hasil kepada negara sebanyak RM33.12 bilion dan sasaran pada tahun ini sebanyak RM36 bilion.
   
Sementara itu Ketua Pengarah Kastam Malaysia, Datuk Sri Khazali Ahmad berkata sebanyak 55 syarikat kecil yang telah membeli perisian cukai barangan dan perkhidmatan (GST) bakal menerima subsidi kerajaan sebanyak RM1,000.
   
Perisian tersebut untuk pengiraan harga barangan yang dikenakan GST.
   
"Mereka yang beli perisian ini perlu memaklumkan kepada SME Corp sebelum mendapat kelulusan untuk subsidi itu.
   
"Kita harap lebih banyak syarikat kecil memohon untuk mendapatkan perisian itu," katanya.
   
Peruntukan sebanyak RM150 juta disediakan kerajaan untuk subsidi RM1,000 kepada setiap syarikat kecil dan sederhana bagi mengemas kini sistem perakaunan syarikat mereka.
   
Pelancaran subsidi itu dijangka dilakukan pada Jun atau Julai ini sebelum kerajaan menguatkuasa GST mulai April tahun depan. Bernama