POKOK KARAS MILIKI PERMINTAAN TINGGI DI PASARAN.

TANJUNG MALIM 24 Mei. Tidak ramai yang mengenali pokok karas, tapi apabila di sebut gaharu, ramai diantara kita yang mengetahuinya, sebenarnya kayu gaharu dihasilkan dari pokok karas melalui pelbagai proses.

Gaharu menerima permintaan yang tinggi di pasaran tempatan dan antarabangsa, produk gaharu ini boleh dikomersilkan menjadi produk-produk makanan dan minuman seperti teh, biskut dan minyak wangi, barangan kosmetik dan banyak lagi.

Menyedari potensi itu, satu kerjasama antara Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Al-Hilmi Agrofarm Sdn Bhd, Tesco Malaysia dan Lembaga Perindustrian Perkayuan Malaysia (MTIB) bersama-sama menjalankan program penanaman, penyelidikan dan pengkomersilan tumbuhan tersebut.

Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Zakaria Kasa berkata, kerjasama tersebut adalah satu inisiatif yang bertepatan dengan misi kerajaan dalam menjalankan program-program pemeliharaan dan pemuliharaan alam semula jadi.

Jelasnya, nilai komersil yang tinggi di samping permintaan yang menggalakkan terhadap produk berasaskan gaharu telah menjadikan pokok karas antara tanaman yang perlu diusahakan dengan giat.

Projek penyelidikan dan pembangunan di bawah seliaan kepakaran Al-Hilmi Agrofarm diharap berjaya menghasilkan produk-produk baru untuk dipasarkan ke seluruh dunia termasuk Asia Barat dan China yang mempunyai permintaan tinggi.

Selain dari menghasilkan produk, kerjasama ini juga dapat memberi peluang kepada ahli biologi dan sains pertanian menjalankan penyelidikan dan pembangunan terhadap tumbuhan itu di samping itu juga, tanah yang terdapat di UPSI ini akan dapat dihijaukan dan dibangunkan dengan tanaman pokok karas.


0 comments: