KENYATAAN AKHBAR
KPDNKK MENAFIKAN MEMOHON MAAF KEPADA SYARIKAT YSLM: TINDAKAN TEGAS AKAN TERUS DIAMBIL
KPDNKK MENAFIKAN MEMOHON MAAF KEPADA SYARIKAT YSLM: TINDAKAN TEGAS AKAN TERUS DIAMBIL
PUTRAJAYA, 10 Julai 2014 - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepengunaan (KPDNKK) tidak pernah mengeluarkan sebarang permohonan maaf kepada pihak YSLM di atas tindakan penguatkuasaan yang diambil kementerian terhadap syarikat jualan langsung itu. Malah tindakan tegas akan diteruskan terhadap apa sahaja aktiviti yang melibatkan syarikat itu.
YSLM merupakan sebuah syarikat jualan langsung yang dipercayai milik warga China serta menjalankan perniagaan secara haram di negara ini. Syarikat ini tidak mendaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan tidak memiliki lesen daripada KPDNKK untuk menjalankan aktiviti jualan langsung.
Siasatan awal mendapati, pemilik syarikat itu Zhang Jian, 26, yang mendakwa dirinya orang terkaya dunia datang ke Malaysia dan mewujudkan skim cepat kaya. Dia menjalankan perniagaan dalam talian dengan menawarkan pelaburan serendah RM300 tetapi pelaburnya boleh memproleh pulangan antara RM2,700 hingga RM6,000 sebulan. Zhang juga didapati menjalankan perniagaan di bawah syarikat CDTUP international Sdn. Bhd yang memperoleh lesen jualan langsung daripada KPDNKK.
Sehubungan itu, berita yang tersebar di laman sosial yang menyatakan KPDNKK memohon maaf serta akan memulangkan semula barangan yang dirampas kepada pihak YSLM adalah palsu. Pihak kementerian akan terus melaksanakan tindakan yang sewajarnya termasuk menahan Zhang untuk siasatan lanjut.
Siasatan terhadap YSLM dijalankan di bawah Seksyen 27 (b) Skim Anti Piramid manakala CDTUP international Sdn. Bhd. pula di bawah Seksyen 6(4) Pelanggaran Syarat Lesen di bawah Akta Jualan Langsung Dan Skim Anti-Piramid 1993. Tindakan tegas akan dikenakan ke atas mana-mana individu atau syarikat yang menjalankan aktiviti yang bertentangan dengan Akta Jualan Langsung Dan Skim Anti-Piramid 1993.
Bagi kesalahan kali pertama di bawah Seksyen 27 (b), hukuman yang akan dikenakan adalah denda tidak kurang daripada RM500,000 dan tidak lebih RM5 juta atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali. Bagi kesalahan di bawah Seksyen 6(4), hukuman yang akan dikenakan adalah pembatalan lesen jualan langsung.
Akhtar Sahari
Ketua Komunikasi Korporat
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan
Ketua Komunikasi Korporat
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan