Saya petik beberapa pandangan Tan Sri Abdul Rahim Noor:
"Berdasarkan maklumat yang saya perolehi, terdapat bukti menunjukkan berlaku peningkatan kadar jenayah indeks berhubung dengan kegiatan gangsterisme selepas EO 1969 dihapuskan.
"Kesan daripada pemansuhan undang-undang berkenaan, penahahan suspek-suspek bagi kes-kes baharu yang dulunya disiasat di bawah EO 1969 tidak dapat lagi dilakukan malah individu yang sedang ditahan terpaksa dibebaskan walaupun tempoh tahanan masih belum tamat. Ada di antara mereka yang bebas ini bermaharajalela. Sebilangan mereka melakukan jenayah semula.
Pihak polis sekadar menjadi pemerhati tetapi tidak dapat membendungnya. Mereka seperti patah sayap. Keadaan tidak lagi seperti dahulu. Maklumat yang diperolehi hasil daripada risikan hanya dibukukan sahaja. Sekiranya laporan polis dibuat, barulah tangkapan dilakukan di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.
Tan Sri Rahim tidak secara langsung menyatakan kebimbangan bahawa Jabatan Peguam Negara akan diberikan peranan lebih besar daripada PDRM dalam penggubalan akta baharu yang bakal digubal untuk menggantikan EO 1969 itu.
Rahim berpandangan Jabatan Peguam Negara tidak tahu sepenuhnya tentang putar belit atau modus operandi penjenayah khususnya yang membabitkan gangsterisme, maklumat risikan dikutip, dijejak dan disimpan oleh pihak polis. Mereka mengetahui secara mendalam tentang dunia penjenayah.
Pihak pegawai-pegawai Jabatan Peguam Negara tidak melihat permasalahan jenayah secara keseluruhan. Mereka lebih cenderung melindungi hak asasi suspek daripada membantu siasatan polis.
Jenayah keganasan semakin subur tetapi malangnya pihak polis hanya dapat melihat sahaja kerana tangan mereka kini terikat. Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan hak asasi manusia dan pegawai-pegawai Jabatan Peguam Negara tidak memahami hakikat ini kerana bukan mereka yang bergelumang dalam kegiatan mencegah jenayah seperti yang dilakukan pihak polis.
Rahim berkali-kali meletakan harapan kepada ahli ahli parlimen sebagai penggubal undang-undang supaya memahami betapa penting unsur tangkapan untuk pencegahan bagi menjamin keselamatan rakyat. Polis hendaklah diberikan kuasa ini dan keselamatan rakyat sepatutnya lebih diutamakan.
Apa yang disuarakan oleh Tan Sri Rahim sebenarnya mewakili hasrat dan hati nadi anggota polis dari peringkat bawah sehingga teratas dan juga perasaan keseluruhan rakyat. Anggota anggota polis berada dalam keadaan moral yang sangat rendah sekarang.
Penjenayah menjadi besar kepala kerana mereka tahu polis telah hilang kuasa. Saya sendiri baharu sahaja bercakap dengan seorang pegawai tinggi polis dalam bahagian jenayah yang menyatakan "kami sekarang tak ada kuku lagi Tan Sri."
Inilah akibatnya apabila hak asasi penjenayah dilihat lebih penting dari hak asasi masyarakat dan kepentingan populariti politik mengatasi kepentingan hakiki.
0 comments: