BACAAN YASIN IRINGI JENAZAH DARI KLIA KE KUCHING


Jenazah Allayarhamah Ariza Ghazalee (Ibu) dan Allahyarham Muhammad Afif Tambi, dua beranak yang menjadi mangsa tragedi MH17 selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Semariang di sini lebih kurang jam 5:05 petang tadi.

Ibu Ariza, Jamilah Noriah Abang Anuar,72, tidak dapat menahan sebak ketika mendahului upacara menyiram air mawar pada kubur anak dan cucunya sebelum di ikuti oleh ahli keluarga yang lain.

Ariza , 46, dan anak sulungnya Muhammad Afif, 19, adalah antara 20 jenazah mangsa tragedi pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) Penerbangan MH17 yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL di Sepang dari Amsterdam pagi tadi.

Jenazah mereka kemudian dibawa pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Pesawat C-130 Hercules yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira pukul 11.25 pagi tiba tepat jam 2.17 petang di Pengkalan TUDM Kuching. 

Dua menteri yang mengiringi jenazah tersebut ialah Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat Dato' Sri Hajah Rohani Karim dan Menteri Kerja Raya Datuk Haji Fadillah Yusof mereka turut berada di dalam pesawat yang membawa jenazah itu.

Dari pangkalan TUDM Kuching, jenazah mereka dibawa sebuah van ke Masjid Jamek Petra Jaya di mana kira-kira 1,000 orang menunggu di masjid, jenazah tiba pada 3.25 petang dengan diiringi pasukan polis pengiring.

Turut menunggu ketibaan jenazah mereka di Masjid Jamek ialah Tuan Yang Terutama Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud, Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Haji Adenan Satem serta menteri-menteri dan menteri muda kabinet negeri.

Dua jenazah itu kemudian ditempatkan di hadapan ruang solat sebelum Imam Besar Masjid Jamek Petrajaya Datuk Joji Suhaili memimpin bacaan Yaasin mengimamkan Majlis Solat Jenazah.

Selepas itu, jenazah mereka telah dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Samariang untuk majlis pengebumian yang di hadiri kira-kira 5,000 orang pada jam 4:50 petang.

Allahyarhmah Ariza bersama suaminya Tambi Jiee, 49, dan semua anak mereka; Muhammad Afif, Muhammad Afzal, 17, Marsha Azmeena, 15 dan Muhammad Afruz, 13 terkorban dalam tragedi pada 17 Julai lepas.

Sehingga hari ini, hanya mayat dua anak beranak dari keluarga tersebut telah di kenalpasti dan selebihnya masih didalam proses pengecaman identiti dan DNA di Belanda.