Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan membawa permohonan supaya Elaun Pekerja Cacat (EPC) dinaikkan daripada RM300 kepada RM500 sebulan untuk dimasukkan ke dalam Bajet 2015.
Menterinya, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, kementerian berpendapat permohonan itu adalah munasabah dan memahami situasi semasa, misalnya faktor harga barangan, menjadikan permohonan itu selari dengan pendirian pihaknya.
"Selain permohonan untuk menaikkan EPC, kementerian juga mendapat permintaan supaya elaun kepada pembantu orang kurang upaya (OKU) diwujudkan.
"Rasional di sebalik permohonan ini adalah, sebagai contoh, OKU memerlukan pembantu untuk menolak kerusi roda, mereka merasakan elaun untuk pembantu diperlukan kerana tanpa pembantu OKU akan menghadapi kekangan untuk bergerak," katanya.
Menurutnya pada tahun ini kementerian menerima sebanyak RM2.2 bilion dan daripada jumlah tersebut, RM1.4 bilion diperuntukkan untuk tujuan kebajikan.