Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengingatkan rakyat Malaysia di Sabah, terutama golongan muda, supaya berwaspada dengan pihak yang memainkan isu cubaan membawa Sabah keluar daripada Malaysia.
Beliau menasihatkan mereka supaya tidak mudah terpengaruh dengan isu berkenaan memandangkan terlalu besar risiko yang perlu ditanggung jika berlaku sebarang krisis atau ketidakstabilan politik di negeri ini.
"Jangan terikut-ikut kerana kita tahu akan ada anasir yang akan mengambil kesempatan bukan hanya dari luar tetapi dari dalam.
"Mereka akan mengambil kesempatan dalam keadaan ketidakstabilan yang berlaku di peringkat negeri dan negara kita,"katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan Liga Bola Sepak KDM Malaysia, Piala FA dan Piala Sumbangsih di Kompleks Sukan Universiti Malaysia di sini, Khamis malam.
Turut hadir Presiden KDM Malaysia Datuk Peter Anthony.
Merujuk insiden pencerobohan di Kampung Tanduo, Lahad Datu, Shafie yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata peristiwa itu bukan sahaja memaksa negara menggerakkan semua agensi keselamatannya menangani ancaman malah turut menjejaskan kehidupan harian rakyat.
Justeru itu, beliau berharap tindakan diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba memainkan isu berkenaan kerana ia boleh menjejaskan keselamatan rakyat dan negara.
Selain agensi kerajaan, beliau juga meminta pertubuhan bukan kerajaan supaya membantu menjelaskan isu itu kepada semua lapisan rakyat agar mereka tidak mudah terpengaruh dengan dakyah itu.
-- BERNAMA
DS SHAFIE APDAL, GOLONGAN MUDA JANGAN TERPENGARUH GOLONGAN HASUT SABAH KELUAR MALAYSIA.
Published On
Friday, September 19, 2014
By
The Malaysia News Online

0 comments: