Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta semua ahli UMNO berfikir di luar kotak serta mencari formula baharu bagi menarik semula sokongan rakyat kepada parti tersebut untuk terus memimpin negara.
Timbalan Perdana Menteri berkata, situasi politik masa kini yang semakin mencabar terutamanya selepas pilihan raya umum lalu memerlukan UMNO memikirkan kebijaksanaan baharu untuk menangani keadaan tersebut.
Katanya, kemerosotan kali pertama undi popular yang diperoleh kerajaan dalam pilihan raya berkenaan memberikan mesej bahawa rakyat mahukan sesuatu dan perkara lebih tinggi berbanding sekarang.
"Zaman sekarang merupakan zaman sukar, zaman dahulu lebih mudah berbanding zaman sekarang disebabkan pelbagai perkara yang berlaku dalam negara, perubahan manusia, minda, ekosistem dan geopolitik global serta antarabangsa.
"Corak pemikiran manusia sekarang dan harapan rakyat kepada kerajaan tidak seperti dahulu lagi berikutan kepantasan ilmu, teknologi maklumat dan media sosial yang mana isu ini perlu diselesaikan tanpa mengikut cara biasa," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Putrajaya yang turut dihadiri Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor di sini malam ini.
Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, kekalahan teruk parti itu di Selangor dan pertama kali tewas sebanyak 18 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen di kubu kuat UMNO di Johor serta kemerosotan undi popular dalam pilihan raya umum lalu memerlukan kebangkitan segera daripada semua ahli.
Katanya, corak pemikiran pengundi muda yang berbeza malah lebih matang berbanding dahulu berikutan kepantasan teknologi maklumat memerlukan pendekatan baharu.

0 comments: