SYARAT MELAYU, ISLAM PERKARA NOMBOR DUA UNTUK JADI MB - AZIZ BARI


Syarat Melayu dan Islam untuk diangkat menjadi Menteri Besar boleh diketepikan kerana suara majoriti merupakan perkara yang lebih utama.

Pakar Perundangan dan Perlembagaan Prof. Dr Aziz Bari berkata, soal budi bicara di dalam kemelut perebutan kerusi Menteri Besar Selangor kini tidak boleh diguna pakai berikutan majoriti sudah membuat keputusan.

“Sebagai seorang pengkaji, saya terkejut dan tidak sangka, tragedi ini boleh berlaku. Jika Umno di bawah Selangor apakah ini akan berlaku?

“Krisis Umno di Terengganu selesai dengan cepat. Jika Pakatan Rakyat (PR) memerintah Putrajaya, pastinya ini tidak akan berlaku,” ujarnya.

Tambah beliau apa yang berlaku di Selangor, seolah-olah ia telah ‘diliwat’. Perubahan politik itu bukannya berdasarkan keputusan istana kerana pihak istana hanya memutuskan sahaja.

“Tidak perlu untuk menunggu sehingga keputusan daripada muktamar PAS kerana ia bergantung kepada suara majoriti,” ujarnya.

Jelasnya lagi, syarat Melayu, Islam dan sebagainya hanya menjadi perkara kedua, tetapi apa yang penting keputusan majoriti.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis dalam Wacana Sinar Harian Siri ke 31 yang bertajuk 
‘Kerusi Panas MB Selangor’ di Auditorium Kompleks Kumpulan Media Karangkraf semalam.

Dalam pada masa yang sama, Aziz turut menegaskan, Pakatan Rakyat dilihat membawa politik baru seterusnya menolak politik rasis dan perkauman.

Justeru itu, PAS yang ketika ini kelihatan bertegas mahu mengekalkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim selaku Menteri Besar Selangor dikhuatiri bertentangan dengan prinsip permuafakatan dalam PR.

Malah, pihak istana juga kini perlu mengelakkan daripada menjadi ‘pak turut’.

“Kalau melihat sejarah, pertukaran pemimpin sebelum ini adalah berdasarkan keputusan parti, bukannya pihak istana. Istana hanya sahkan sahaja, walaubagaimanapun Istana bukannya pak turut,”

“Semua parti politik juga perlu bersuara untuk rakyat. Ini bukan lagi melibatkan soal parti. Perlu juga sokong Wan Azizah (menjadi Menteri Besar menggantikan Abdul Khalid), itulah demokrasi.” tegas beliau.

Turut diundang menjadi panelis, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Nik Nazmi Nik Mat dan bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Muhammad Muhammad Taib.