Laporan polis yang dibuat ke atas wakil GERAKAN Johor, Tan Lai Soon berikutan kenyataan biadapnya yang mengatakan Melayu juga adalah pendatang di negara ini masih tidak mendapat maklum balas pihak berkuasa.
Naib Presiden 2 ISMA, Encik Abdul Rahman Mat Dali berkata, kita mahu tahu apa status laporan polis ke atasnya.
“Lebih 20 laporan polis dibuat. Tetapi sampai hari ini masih tidak ada tindakan.
“Rakyat ingin tahu status kes ini supaya tidak berulang kembali di masa hadapan.
“Jangan wujud dakwaan terpilih kerana ia akan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap sistem pendakwaan negara,” tegasnya.
Pada 19 Oktober lalu, Tan mengeluarkan kenyataan menghasut apabila mengatakan orang Melayu juga sebenarnya pendatang di negara ini.
Katanya, Melayu, Cina, India semua pendatang, kecuali Orang Asli, orang Sabah dan orang Sarawak, yang menjadi bumiputera asal.
Ujar Encik Rahman, sudah hampir dua bulan masih tiada tindakan.
“Jadi kita harap siasatan segera perlu dilakukan. Tindakan ke atas Tan perlu dibuat secepat mungkin,” ujar beliau.