Kanak-kanak berusia enam tahun yang menyelamatkan adiknya daripada menjadi mangsa kebakaran ketika rumah mereka di kampung Kubang Depu di Besut, Terengganu dijilat api tahun lalu, hari ini menerima Anugerah Pingat Hang Tuah atas keberaniannya itu.
Mohd Syawal Mohd Shukri, pelajar Tadika Kemas Kampung Kubang Depu, menerima anugerah berkenaan sempena sambutan Hari Warga Emas dan Hari Kanak-kanak Sedunia Peringkat Kebangsaan yang berlangsung di Dewan Wawasan dekat sini hari ini.
Hadiah berupa trofi, sijil serta wang tunai RM5,000 disampaikan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Turut hadir di dalam sambutan itu adalah Menteri Pembangunan Wanita,Keluarga dan Masyarakat, Dato Seri Rohani Abdul Karim.
Bapa kanak-kanak itu, Mohd Shukri Mohamad Nor, 37, berkata, ketika kejadian pada 11.30 pagi 3 Ogos tahun lepas, Mohd Syawal yang baru berusia lima tahun, berjaya membawa keluar adiknya, Mohd Syaqir Mohd Shukri, 4, dari rumah mereka setelah menyedari api sedang marak di dalam bilik tidur.
Katanya, Mohd Syawal memaut adiknya lalu membawanya ke rumah nenek mereka yang terletak kira-kira 10 meter dari situ, sebelum berlari sejauh kira-kira satu kilometer untuk mencari Mohd Shukri.
Akibat kejadian itu keluarga Mohd Shukri tinggal sehelai sepinggang dan mengalami kerugian kira-kira RM28,000.
Mohd Shukri berkata, keluarganya sangat bernasib baik kerana mendapat sebuah rumah baharu hasil keprihatinan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
0 comments: