Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah membangunkan Portal MyCorporateCare bagi tujan membantu mana-mana syarikat atau badan-badan korporat yang ingin melaksanakan tanggungjawab korporat sosial (CSR) kepada institusi-institusi kebajikan atau Pertubuhan Sukarela Kebajikan (PSK) yang menerima bantuan kewangan kerajaan melalui JKM.
Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Dato’ Sri Rohani Abdul Karim, dalam melaksanakan CSR di syarikat masing-masing, kekangan yang lazimnya dihadapi oleh sektor korporat atau swasta adalah kekangan dari segi masa.
“Portal ini dapat membantu masalah yang dihadapi oleh badan korporat atau syarikat yang ingin memberi sumbangan kepada PSK dan boleh mendapatkan maklumat lengkap dan keperluan sebenar PSK untuk menyampaikan sumbangan,” katanya kepada pemberita ketika merasmikan Majlis Pelancaran Portal MyCorporateCare di kementeriannya hari ini.
“Syarikat Korporat yang ingin menyumbang tidak perlu ragu-ragu berhubung dengan status PSK yang berdaftar dengan portal ini kerana senarai PSK yang dipaparkan dalam portal ini adalah sah dari segi penubuhannya dan mematuhi keperluan mengikut Akta Penubuhan 1966, Akta Pusat Jagaan 1993 atau Undang-Undang Tubuh yang lain.
Pertemuan maya di antara PSK dan Syarikat Korporat akan mempercepatkan lagi urusan pengendalian sumbangan Syarikat Korporat kepada PSK selaras dengan Dasar Kebajikan Masyarakat Negara 1990, Dasar Sosial Negara 2003 serta Wawasan 2020 iaitu ke arah memupuk masyarakat penyayang,” tambah Rohani lagi.
Portal MyCorporateCare adalah sistem yang dibangunkan secara percuma oleh Syarikat Kometsoft sebagai menunaikan CSR Syarikat Kometsoft kepada kumpulan sasar KPWKM khususnya JKM.
“Saya berharap dengan adanya portal ini, ianya mampu mengatasi masalah yang dihadapi Syarikat Korporat dalam memastikan sumbangan mereka dinikmati oleh golongan yang benar-benar memerlukan bagi meningkatkan kualiti hidup kumpulan sasar,” katanya.
Turut hadir sama di majlis tersebut ialah YB Senator Datin Paduka Chew Mei Fun, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YBhg Dato’ Norsham Abdul Rahin, Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) KPWKM, YBrs Encik Wee Beng Ee, Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) KPWKM, YBhg Dato’ Norani Hj Mohd Hashim, Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat, YBrs Puan Wan Noraidah Wan Mohd Zain, Pengarah Bahagian Komuniti JKM, Encik Khairul Amri Yunus, Pengarah Urusan Kometsoft (M) Sdn Bhd, Pegawai-Pegawai Kanan KPWKM dan JKM serta wakil-wakil Syarikat Korporat dan Pertubuhan Sukarela Kebajikan.