MENANGANI KES BULI DAN BULI SIBER


Oleh: Kwok Chin Hoe

Kes buli dan gengsterisme di sekolah kian menjadi isu yang mendapat perhatian serius orang ramai. Ini berikutan pendedahan satu demi satu klip video yang memuatkan adegan buli yang dilakukan pelajar sekolah tersebar luas di rangkaian laman sosial Facebook dan YouTube serta mendapat liputan meluas media massa. 

Sejumlah rakaman klip video yang didedahkan kebelakangan ini bukan sahaja mempertontonkan aksi ganas melibatkan kumpulan pelajar lelaki, tetapi juga kes buli membabitkan kumpulan pelajar perempuan sebagai si pembuli. 

Laporan demi laporan kes buli pelajar sekolah ini segera menimbulkan kegusaran pelbagai pihak, sama ada pihak pentadbir sekolah, agensi kerajaan, pemimpin masyarakat, perancang polisi, ibu bapa atau orang awam, wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pakar-pakar bidang berkaitan yang ingin diadakan penyelesaian bagi membendung budaya buli yang kian meruncing di halaman sekolah. 

Berikutan itu, pelbagai cadangan telah dikemukakan dengan harapan dapat menangani gejala itu. Ada yang mencadangkan penempatan polis bantuan di sekolah, ada juga yang menyarankan untuk memperkenalkan semula sistem hukuman rotan, melantik warden asrama sepenuh masa bukanya bebankan guru dengan tugas tersebut, mewujudkan semula talian khas anti buli dan sebagainya. 

Namun begitu, belum pun berhasil menangani kes-kes buli yang berlaku di alam persekolahan, kini kita pula perlu berdepan dengan fenomena buli yang wujud di luar batasan sempadan fizikal yakni perbuatan membuli di alam siber – buli siber. 

Buli siber didefinisikan sebagai penggunaan teknologi komunikasi modern  seperti telefon bimbit, e-mel dan rangkaian laman sosial untuk menghantar teks, gambar atau video yang bertujuan menimbulkan gangguan, ugutan atau memalukan individu lain. 

Sebuah kajian yang dijalankan ke atas 9,651 orang pelajar daripada 459 buah sekolah rendah dan menengah di seluruh negara mendapati sebanyak 13 peratus (1,255 orang pelajar) dari responden mengaku bahawa mereka sedang menjadi mangsa buli siber, manakala 26 peratus (2,509 orang pelajar) pula mengaku pernah menjadi mangsa buli siber. 

Kajian yang dijalankan oleh CyberSecurity Malaysia, Kementerian Pendidikan dan DiGi Telecommunications Sdn Bhd pada tahun 2013 ini membuktikan bahawa gejala buli siber semakin menular dalam kalangan pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah di negara ini. 

Dapatan kajian tersebut juga menggambarkan bahawa pelajar-pelajar kini semakin terdedah kepada pelbagai ancaman, ugutan atau gangguan daripada pembuli siber menerusi telefon bimbit, e-mel, pesanan ringkas (SMS) dan laman sosial. 

Berbeza berbanding kes buli tradisional, buli siber di alam siber tanpa sempadan fizikal ini adalah begitu mudah berlaku. Siapa-siapa sahaja boleh terdedah menjadi pembuli siber atau mangsa buli siber. Ia juga boleh berlaku pada bila-bila masa. 

Tambahan pula kanak-kanak dan remaja masa kini suka menjadikan dunia siber sebagai medium hiburan dan menghabiskan waktu senggang mereka. Keadaan sedemikian menjadi mereka sebagai kumpulan yang paling berisiko tinggi menjadi mangsa buli siber berbanding orang dewasa yang lebih matang sifatnya. 

Justeru itu, pendekatan preventif yang proaktif, pendidikan dan kempen kesedaran yang holistik harus diadakan secara konsisten bagi mencegah budaya buli di sekolah dan meningkatkan kesejahteraan siber yang melibatkan kumpulan sasar seperti kanak-kanak dan remaja.  

Kwok Chin Hoe ialah Pelajar Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pembangunan Komuniti di Universiti Putra Malaysia (UPM)