PENANTIAN PERIT PENDUDUK SARAWAK BAKAL BERAKHIR



Oleh: Kwok Chin Hoe

Setelah sekian lama menanti, penduduk luar bandar di Sarawak, khususnya penduduk di Daerah Kapit dan Song akhirnya akan dapat menikmati kemudahan jalan darat yang menghubungkan kedua-dua daerah berkenaan dengan kawasan bandar lain di negeri tersebut.

Sebelum projek pembinaan jalan raya Kapit-Song-Kanowit yang dijangka siap menjelang tahun 2017 itu, penduduk di Daerah Kapit dan Song bergantung sepenuhnya pada pengangkutan air – bot ekspres, dan Sungai Rejang sebagai landasan penghubung utama untuk mereka meninggalkan atau menuju ke Sibu, Kapit dan Song. 

Umum mengetahui, penumpang bot express sentiasa berdepan dengan risiko bot karam, khususnya di musim perayaan. Apa yang kerap kali mengakibatkan tragedi sedemikian berlaku adalah kerana muatan penumpang berlebihan daripada yang telah disyaratkan. 

Kejadian seumpama ini memang kerap berlaku dan telah banyak dilaporkan di media massa sebelum ini. 

Selain itu, kebergantungan penuh penduduk di Kapit dan Song terhadap pengangkutan air turut mendatangkan pelbagai kesulitan dan implikasi kepada  kehidupan seharian penduduknya. 
Malah, ketiadaan kemudahan jalan darat itu juga turut membantutkan pembangunan sektor sosio-ekonomi di kawasan berkenaan, mengehadkan akses penduduk setempat ke atas perkhidmatan sosial tertentu yang hanya boleh didapati di kawasan bandar seperti Sibu, dan akhirnya, jurang pembangunan dan ketidakseimbangan pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar terus meningkat.  

Oleh itu, harus diakui bahawa apabila ada jalan darat yang menghubungkan Kapit-Song-Kanowit nanti, ia akan menyumbang pelbagai manfaat kepada penduduk di Kapit dan Song. 

Pertama,  penyediaan jalan raya itu nanti akan memberi keselesaan dan memudahkan perjalanan  atau pergerakan penduduk di Kapit dan Song untuk keluar masuk ke kawasan bandar khususnya waktu perayaan dan cuti sekolah. 

Kedua, ia dapat menyumbang kepada peningkatan ekonomi, di mana peniaga, usahawan, petani di Kapit dan Song dapat meningkatkan penghasilan produk atau tanaman mereka dan kemudiannya dapat memasarkan hasil tersebut di bandar seperti Sibu serta memajukan sektor pelancongan di kedua-dua daerah itu yang cukup kaya dengan pelbagai jenis kebudayaan.  

Ketiga, pembinaan jalan Kapit-Song-Kanowit itu nanti turut diyakini akan merancakkan lagi aktiviti pembangunan, fizikal atau sosial dan meningkatkan akses penduduk setempat terhadap perkhidmatan sosial bagi memenuhi keperluan sosial mereka. Ini seterusnya akan berhasil merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar di negeri itu. 

Sudah tentu, manfaat-manfaat itu akan dapat dinikmati oleh penduduk di Daerah Kapit dan Song hanya bila kita dapat memastikan pembinaan jalan raya berkenaan dapat disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan. Justeru itu, sepanjang proses pembinaan, harus ada pemantau secara berkala oleh agensi kerajaan bagi menilai progress pembinaan jalan itu dan sentiasa memaklumkan kepada penduduk setempat kemajuan semasa pembinaan jalan tersebut. 

Kwok Chin Hoe ialah Pelajar Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pembangunan Komuniti di Universiti Putra Malaysia (UPM)