Oleh: Kwok Chin Hoe
Usaha membawa masuk seramai 12,000 orang pekerja Bangladesh ke Negeri Sarawak merupakan langkah permulaan oleh kerajaan bagi memenuhi tuntutan keperluan tenaga kerja yang tinggi sehingga mencecah angka 62,000 orang di negeri itu.
Kemasukan pekerja asing itu pada peringkat awalnya memang diakui dapat membantu negeri tersebut mengatasi masalah ketidakcukupan tenaga buruh, khususnya dalam sektor pertanian dan perladangan yang kurang mendapat sambutan daripada warga kerja tempatan, berikutan gaji yang rendah, selain perlu bekerja di persekitaran yang tidak menyenangkan, melibatkan kerja-kerja berbahaya atau berisiko dan kotor.
Sungguhpun kemasukan pekerja Bangladesh yang ramai itu dapat mengatasi isu keperluan tenaga kerja di Sarawak, namun pada masa yang sama, kehadiran dan kebanjiran mereka di negeri itu, jika tidak diurus secara bijaksana, berupaya mendatangkan kesan sampingan yang memudaratkan kesejahteraan dan keharmonian rakyat tempatan.
Pertama, kemasukan pekerja asing ini dikhuatiri akan menutup peluang pekerjaan penduduk setempat khususnya penduduk di luar bandar. Bayaran gaji pekerja asing yang murah menyebabkan syarikat, pengusaha atau majikan perladangan lebih mengutamakan pengambilan pekerja asing untuk bekerja dengan mereka. Akhirnya, pekerja tempatan berstatus tidak mahir atau pekerjaan am sukar dapatkan pekerjaan di kawasan mereka.
Kedua, statistik turut membuktikan bahawa warga asing adalah penyumbangan kepada indeks jenayah di negara ini. Pada tahun 2014, Januari hingga September sahaja, seramai 14,143 orang warga asing telah ditangkap bersamaan 14% daripada 97,393 kes jenayah indeks yang dilaporkan seluruh negara. Maka, bilangan pekerjaan asing Bangladesh yang semakin ramai menjejakkan kaki di bumi Sarawak juga dikhuatiri akan menyumbang kepada peningkatan kes jenayah dan mengugut keselamatan penduduk setempat di negeri itu.
Ketiga, kebanjiran pekerja asing ini juga diyakini akan menggalakkan lagi sindiket pemalsuan dokumen perjalanan diri seperti pasport, kad pengenalan dan permit, semata-mata bagi memenuhi niat mereka untuk terus tinggal dan bekerja di negara ini. Jika tidak ditangani sebaik mungkin, kes-kes seumpama ini akan memberi impak negatif dan menjejaskan aspek keselamatan serta imej negara.
Kwok Chin Hoe ialah Pelajar Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pembangunan Komuniti di Universiti Putra Malaysia (UPM)