UMNO HARUS BERANI.


ADA impak tersendiri hasil Perhimpunan Agung UMNO 2014 yang berakhir 29 November lalu.
Bagi pakatan pembangkang, mereka gusar. Mereka tahu dan sedar bahawa perhimpunan agung UMNO memberikan impak yang hebat kepada orang Melayu dan juga rakyat di negara ini.


Namun keseluruhannya para perwakilan yang sempat penulis bersembang di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur minggu lepas, mengakui cukup memahami kehendak terkini pucuk pimpinan parti. Perwakilan juga nampaknya memperoleh tekad baharu dalam menggerakkan UMNO dengan suntikan gendang perang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang dilancarkan pemimpin  tertinggi parti.


Ingatlah, PRU-14 akan menjadi ibu kepada segala pilihan raya menggantikan PRU-13 yang pernah juga digelar sebegitu rupa! Semua jentera parti komponen Barisan Nasional perlu memberi   iltizam 100% membantu UMNO yang menunjangi mereka untuk mendepani cabaran getir mendatang.


Dalam hal ini, UMNO tidak harus terlalu mudah mohon maaf atau bersikap apologetik atas nama perjuangan atau semasa menegakkan yang hakiki. Fakta bahawa negara ini adalah asalnya negeri Melayu tetapi dikongsi pentadbirannya dengan warga bukan Melayu, maka ini perlu penegasan dan penerimaan.


Demikianlah juga dengan pendidikan nasional yang seharusnya berasas kepada beberapa prinsip antaranya hak Raja-Raja, hak peribumi, bahasa dan budaya Melayu di samping menyatakan hak sah kaum lain diterima. Jika Dong Zong  membuat bingar, UMNO mesti berani bersatu dengan seluruh orang Melayu, menempelak mereka.


Jika pengguna Internet mendurhakai Yang di-Pertuan Agong atau mana-mana Raja di negara ini, seret mereka untuk didakwa cepat dan berkesan. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) mesti dianggotai kalangan mereka yang memiliki kenegaraan yang kuat.  Sementelahan itu, menteri terlibat, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek harus membuat tindakan drastik meletakkan golongan yang mempunyai karisma serta kenegaraan dalam SKMM bagi menyelesaikan pelbagai bentuk fitnah dan penghinaan yang berlaku dalam media sosial sejak 2008 lagi.


Pada masa sama, team siber kerajaan/UMNO  perlu dirombak. Ini adalah ekoran pasukan ini yang berpangkalan di Putrajaya dan JASA sudah ketinggalan zaman dalam dunia teknologi maklumat (IT). Pasukan siber kerajaan/UMNO ini lebih kelihatan untuk mempunyai agenda peribadi seperti mana dibangkitkan oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan penggulungan perhimpunan agung parti yang berakhir 29 November lalu.


“Jangan  'attack' sesama sendiri, jangan bunuh sesama sendiri, jangan sorong belakang sama sendiri. Gunakan kekuatan siber untuk kuatkan UMNO, bukan jatuhkan kawan-kawan. "Untuk roh itu, kita sediakan Keris 2314 sebagai program pertarbiyahan dan pengkaderan. Ini akan  mewujudkan jil UMNO yang akan terlahir UMNO yang dapat meremajakan parti kita,” katanya.


Ahmad Zahid merujuk angka 2314  - 23 ertinya, kalau kerja keras, BN akan mendapat 2/3 majoriti pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, sementara 14 pula maksudnya - PRU ke-14.


UMNO mesti berani. Jika ada yang mengkhianati dasar pelajaran negara, UMNO harus ke depan dan  bertindak bagi orang Melayu dan Bumiputera. Pemimpin UMNO tak harus lembik, takut-takut atau teragak-agak apabila berdepan dengan sebarang pencabulan hak asasi kaum. Perimbangan kuasa ini perlu diterima oleh orang Melayu dan Bumiputera serta kaum-kaum lain di Malaysia. UMNO mesti hidupkan budaya `berundang-undang mahir, berbicara juga mesti mahir dan menang’.


UMNO harus berani. Kalau perlu dirombak barisan kepimpinan UMNO Selangor demi memastikan negeri terkaya di Malaysia itu kembali ke pangkuan parti setelah terlepas dua kali - buatlah, segerakanlah. Hakikatnya, sudah menjadi rahsia umum percakaran sesama peringkat atasan UMNO Selangor yang nampaknya mengulangi senario kemelut hubungan antara timbalan pengerusi perhubungan dan koordinator negeri tahun lalu.  

Politik UMNO Selangor kini maklum pengerusi perhubungan sedia ada juga `tidak ngam’  dengan timbalannya, sementara setiausaha parti negeri pula dikatakan  tidak sehaluan dengan ketua penerangannya. Kalau pengerusi perhubungan buat program, timbalan tidak nampak kelibatnya. Jika setiausaha hadir program, ketua penerangan sebaliknya.


Kalau benarlah mahu sahut seruan Presiden parti semasa merasmikan Konvensyen UMNO Selangor baru-baru ini dalam konteks peremajaan UMNO, pemimpin -pemimpin seperti inilah yang sepatutnya melangkah sukarela berundur.

Andaikata pula jika UMNO Selangor pada pilihan raya umum akan datang hendak membawa orang muda, Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Irmohizam Ibrahim mungkin jawapannya. Umur baru menjangkau 36 tahun. Juga, seorang yang kreatif dan tidak berjawatan dalam parti sebelum dipilih calon. Namun, sudah mendapat gelaran `giant killer’ menumbangkan orang kuat Pas, Dr. Zul (Dr. Dzulkefly Ahmad) dalam PRU-13.

Dalam soal ini jangan dipertikaikan pula penangan kewibawaan orang muda. Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo contohnya hanya berusia 35 tahun ketika dilantik Menteri Besar Selangor pada 2000. Contoh lebih dekat ialah Datuk Seri Najib Tun Razak yang merupakan  timbalan menteri paling muda apabila dilantik sebagai Timbalan Menteri Tenaga, Telekom dan Pos pada 1978 ketika usia 25 tahun. Kemudian, pada 1982 menjadi Menteri Besar paling muda di Pahang dalam sejarah negara ketika berumur 29 tahun.  

UMNO harus jangan silu-segan mempelopori keutamaan perjuangannya. Bagaimana dilaung, begitulah diamalkan.

Fasal 3 Perlembagaan UMNO jangan diabaikan. Jika agenda ini disambil lewakan atau berasa segan untuk dijayakan, lantaran takut apa orang lain kata, kelak identiti perjuangan Melayu akan berpaling kepada  tahap takut dan teragak-agak. Justeru,  fakta politik bilangan (politics of number) mesti dijuarakan. Iaitu dengan kekuatan 60 peratus Melayu-Bumiputera di negara ini, di samping menghormati hak semua pihak, UMNO jangan takut memperjuang dan mengekalkan apa yang hakiki bagi Melayu. 
 
Barangkali, sebagai contoh buat apalah UMNO terkejar-kejar untuk meraih sokongan  2,000 undi Cina berbanding merebut kembali 3,000 undi Melayu yang beralih ke pihak sana pada PRU-13?  



Masyarakat bukan Melayu amat teguh budaya bangsa mereka sehingga memegang hampir 68 peratus kekayaan negara ini. Namun sebilangan mereka bebas mengatakan pelbagai cercaan dan penafian, konon mereka disisih didiskriminasi, seolah-olah mereka menjadi warga nombor dua atau nombor tiga. Walhal, kita mengetahui Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan menjamin kesamatarafan semua warga Malaysia.

UMNO mesti berani.

 Meminjam sekali lagi kata-kata Dr Ahmad Zahid:  “(Cuma UMNO) Jangan menyerang sesama sendiri sebab peluru itu akan digunakan oleh musuh untuk menyerang kita sehingga akhirnya ahli kita sendiri akan tewas.”

 “Sekarang yang menjadi ketua kita Presiden, maka harus mendokongnya. Selepas itu ada Timbalan Presiden, jangan buat spekulasi dan mempersiapkan diri untuk mengambil alih sesiapa pun.”

DATUK AHMAD FARIS ABDUL HALIM
penganalisis isu-isu semasa

0 comments: