ku seman ku hussain
Saya sangat bersimpati dengan Ketua Pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Othman yang diminta meletakkan jawatan kerana masalah “kesihatan” oleh Lembaga Pengarah lidah rasmi Pas itu. Tetapi pada masa yang sama saya tidak terkejut perkara itu berlaku kepada akhbar termasuk Harakah.
Secara peribadi yang berlaku ke atas Ahmad Lutfi adalah suatu yang mengecewakan kerana beliau seorang penulis yang kritis, ada pemikiran dan lantang. Walaupun kami kerap berbeza prinsip dan pandangan tetapi kebolehan beliau tidak dinafikan.
Bagaimanapun yang berlaku ke atas beliau adalah bukti kuasa politik bebas mencampuri hal ehwal editorial.
Keadaan politik negara kita berbeza dengan beberapa negara lain seperti Britain atau Australia. Di sana bukan politik yang mengawal akhbar tetapi taikun akhbar yang mengawal orang politik.
Taikun seperti Rupert Murdoch misalnya berkuasa mengatur kemenangan parti tertentu. Dalam pilihan raya umum 1992 misalnya, akhbar Sun milik Murdoch secara terang-terang mengaku menyumbang kemenangan kepada Konservatif.
Tetapi situasi di negara kita berbeza, akhbar selalunya terpaksa mengalah kepada politik. Saya percaya Ahmad Lutfi juga menyedari hakikat ini.
Ini membuktikan bahawa gagasan sesetengah pihak memperjuangkan kebebasan akhbar mutlak tidak lebih sebagai modal politik. Kebebasan sebagaimana yang diperjuangkan itu tidak wujud, ia satu utopia.
Tetapi penyokong tegar sesebuah parti termakan rasukan bahawa akhbar langsung tidak ada kebebasan dan semuanya dikawal oleh parti. Saya harap apa yang berlaku ke atas editorial Harakah membawa mereka berpijak di bumi nyata.
Kawalan politik ke atas akhbar berlaku di mana-mana. Jangan terpengaruh kepada idealisme gerombolan yang turun ke jalan raya memperjuangkan kebebasan akhbar cara mereka, itu kerja sia-sia. Mereka tidak tahu apa-apa tentang kebebasan akhbar.
Kontroversi Harakah kini menjadi topik hangat dalam kalangan penyokong dan ahli Pas. Mereka macam tidak percaya Pas bertindak sedemikian. Maka ada yang bangkit menyuarakan bantahan. Saya tidak berminat untuk mengulas politiking dalam Pas dan Harakah.
Saya membangkit isu ini sebagai satu kajian kes yang membuktikan kawalan politik ke atas editorial suatu perkara biasa. Pemimpin editorial bukan sahaja perlu “menjaga” parti tetapi juga golongan tertentu yang dominan dalam parti.
Daripada beberapa sumber, kontroversi “ubah” Ketua Pengarang itu tercetus akibat beberapa tulisan kolumnis yang juga penyair dan aktivis budaya, Che Shamsudin Othman (Dinsman) yang mengkritik golongan ulama dalam Pas. Ironinya kerajaan BN memberikan kebebasan kepada Harakah tetapi Pas pula mencengkam akhbarnya sendiri.
Sebelum Ahmad Lutfi, dua pengarang kanan Harakah telah ditamatkan perkhidmatan. Yang Dipertua Pas kawasan Batu, Ishak Surin membantah pemecatan “terhormat” Ahmad Lutfi serta dua pengarang kanan, dan menyifatkan tindakan itu tidak mencerminkan sikap sebuah parti Islam. Beliau mungkin terlupa bahawa Pas sebuah parti politik.
Saya percaya pemimpin politik pun tidak mahu kebebasan akhbar. Yang dilaungkan itu hanya drama sahaja. Akhbar digunakan untuk memperlahankan musuh dalam dan luar parti. Tetapi perkara ini tidak banyak diketahui oleh penyokong.
Saya selalu ditanya oleh rakan-rakan yang totok Pas tentang kebebasan akhbar. Tetapi jawapan saya tidak menggembirakan kerana menganggap mereka telah tersihir oleh kepetahan orang berjaja di pasar politik. Di situlah munculnya dakwaan sesetengah akhbar dikawal oleh parti tertentu. Ada yang betul dan juga tidak dalam soal ini.
Kebebasan
Rasanya lebih elok kalau penyokong Pas atau PKR bertanya kepada ketua mereka Anwar Ibrahim tentang kebebasan akhbar. Beliau lebih mahir terutama ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri dahulu. Tanya juga bagaimana cara dia mengawal editorial akhbar dan media elektronik untuk menonjolkan diri dan memperlahankan dan sekali gus “membunuh” musuh politiknya dalam UMNO.
Tetapi bagi saya yang dilakukan Anwar bukanlah salah atau luar biasa. Ini perkara biasa. Malah dihalalkan dalam etika berpolitik negara ini. Maka dalam konteks isu kontroversi Harakah, ia memperjelaskan kepada kita bahawa kawalan politiklah yang membunuh gagasan kebebasan akhbar.
Ini bukan sahaja berlaku di Harakah malah di akhbar-akhbar lain yang dinaungi parti. Di bawah naungan taikun pun tidak ada kebebasan juga kerana taikun ada agenda.
Saya ingin mengatakan bahawa yang melanda Harakah tidak sepatutnya menjadi isu. Saya percaya Ahmad Lutfi pun sedar hakikat Pas ialah sebuah parti politik. Maka sifatnya sama dengan parti politik lain yang memastikan kelangsungan parti dan orang politiknya.
Penyokong-penyokong Pas tidak boleh terlalu ideal melihat Harakah bebas daripada campur tangan politik, tidak kira sama ada politik dalam atau luar Pas. Ini kerana musuh orang politik datang dari dua sudut, dalam dan luar parti.
Tengoklah, walaupun Harakah tidak menyokong UMNO, Ketua Pengarangnya dinasihatkan meletakkan jawatan. Sebabnya mungkin beliau kurang disenangi dengan golongan tertentu dalam Pas sendiri.
Ini dapat dilihat apabila ada pemilihan parti wujud puak-puak tertentu. Walaupun parti yang sama tetapi jangan terkejut kalau kumpulan yang menguasai akhbar menggunakannya untuk “membunuh” musuh sesama parti.
Saya ingin menyarankan kepada ahli-ahli parti politik atau penyokong supaya melihat parti dari pelbagai saluran maklumat. Penyokong Pas tidak boleh bergantung kepada Harakah sahaja untuk melihat dan menilai Pas dan pemimpin-pemimpinnya. Mereka perlu melihat dari sudut pandangan “cermin belakang” iaitu akhbar yang tidak dikuasai oleh Pas.
Sudah tentu yang kurang baik tentang pemimpin Pas tidak ada dalam Harakah dan mungkin ada dalam akhbar lain walaupun secara prinsipnya mereka sangat menyampah. Kenalah membezakan rasa menyampah dengan fakta yang tidak ada dalam Harakah.
Begitu juga penyokong parti-parti lain, mereka boleh sahaja mengutip kritikan dalam Harakah untuk melihat kepincangan parti dan pemimpin-pemimpinnya. Itupun kalau mereka sanggup menerima kenyataan yang pahit.
www.utusan.com.my
0 comments: