DS ROHANI KARIM LAWAT MANGSA BANJIR DI PEKAN.


Pekan- Lawatan turun padang Dato' Sri Rohani Abdul Karim, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ke pusat pemindahan mangsa banjir di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) berjaya membangkitkan suasana keceriaan dikalangan 1,416 mangsa banjir daripada 426 buah keluarga yang ditempatkan di sini.

Mangsa banjir yang ditempatkan di 3 buah dewan besar di sini antara yang menerima kemudahan tirai pembahagi boleh lipat (collapsible partition), khemah boleh lipat (collapsible tent) dan tilam (foam mat) yang baru diperkenalkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) agensi di bawah kementerian.

Kesempatan lawatan selama lebih kurang 3 jam ini juga diambil oleh penduduk yang berada di sini dengan mengadu permasalahan yang dihadapi oleh mereka. "Saya sempat berjumpa dengan beberapa orang mangsa banjir yang menghidap penyakit kanser tulang, bibir sumbing, oku terlantar, warga emas serta kanak-kanak yang kurang sihat. Kesemua mereka telah saya rujuk ke JKM dan badan-badan berkaitan untuk tindakan lanjut secara segera. Sukacita juga saya maklumkan pemberian secara percuma bagi kerusi roda JKM yang digunakan oleh OKU di sini," kata beliau.

Keadaan banjir di Pekan Pahang masih lagi berlaku kerana Pekan merupakan kawasan hilir bagi sungai Pahang. Pusat pemindahan di sini masih lagi beroperasi dan dijangka akan ditutup pada hari Ahad jika keadaan keseluruhan banjir di sini surut dalam jangka waktu singkat.

Bagi mangsa banjir yang masih berada di pusat pemindahan, bekalan makanan akan terus diberikan sehingga tempoh sebulan daripada tarikh ia ditutup manakala bagi yang telah berpindah, bekalan makanan selama 3 hari akan turut diberikan.

Dato' Sri Rohani yang merupakan antara menteri terawal yang turun padang akan terus menggembling seluruh kekuatan kementerian dan agensi di bawahnya dalam membantu penyelarasan banjir yang berlaku sehingga ke peringkat pasca banjir.

0 comments: