KENYATAAN MEDIA YB DATO' SRI ROHANI ABDUL KARIM MENTERI PEMBANGUNAN WANITA, KELUARGA DAN MASYARAKAT
"PENDERAAN KANAK-KANAK DI PULAU PINANG"
Susulan daripada laporan mengenai kanak-kanak berusia 7 tahun yang dipercayai didera dan diabaikan, saya berasa amat bersyukur kerana kanak-kanak tersebut telah diberikan rawatan yang segera oleh pihak Hospital Seberang Jaya, Prai, Pulau Pinang.
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kini telah menjalankan intervensi kaunseling. Pada awalnya kanak-kanak belum bersedia untuk berinteraksi dengan orang lain dan juga masih berasa takut. Namun terkini, kanak-kanak telah menunjukkan perkembangan yang positif apabila telah mula bercakap.
Kaunselor telah membina hubungan dengan kanak-kanak menggunakan playtherapy. Selain itu, kaunselor juga menggunakan art therapy untuk melihat keadaan dan emosi kanak-kanak.
Kanak-kanak memerlukan intervensi kaunseling yang lebih lanjut dalam pengurusan emosi. Proses sesi kaunseling sedang dijalankan oleh kaunselor JKM.
Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada guru kanak-kanak terbabit yang telah bertindak pantas dengan melaporkan kepada pihak polis. Ini menunjukkan keprihatinan dan rasa tanggungjawab yang tinggi oleh masyarakat kita. Saya juga menyeru agar orang ramai akan lebih berani untuk tampil melaporkan kepada pihak berkuasa perkara-perkara sebegini dan menggunakan sepenuhnya Talian NUR 15999.