KPWKM MEWUJUDKAN UNIT PENGURUSAN BENCANA


Kejadian bencana banjir luar biasa di Kelantan dan beberapa negeri baru-baru ini membawa kepada tindakan pantas Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk mewujudkan Unit Pengurusan Bencana yang akan diselia oleh warga Kementerian dan agensi-agensi di bawahnya.

Unit ini akan digerakkan dan diselaraskan oleh agensi-agensi di bawah Kementerian iaitu Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Pembangunan Wanita, Lembaga Penduduk & Pembangunan Keluarga Negara, NIEW, Institut Sosial Malaysia dan Yayasan Kebajikan Negara. Ia juga akan disokong oleh kumpulan sukarelawan yang amat komited dalam usaha membantu pengurusan krisis bencana ini.

“Cadangan pewujudan unit ini akan dilaksanakan secepat mungkin dan buat masa ini pihak Pengurusan Tertinggi Kementerian sedang memperhalusi cadangan ini berdasarkan pemerhatian dalam kejadian banjir baru-baru ini” ulas Dato’ Sri Rohani selepas mempengerusikan Mesyuarat Pengurusan Bencana Banjir di sini hari ini.

Mesyuarat Pengurusan Bencana Banjir yang diadakan di sini adalah untuk membincangkan hasil maklum balas yang diterima daripada mangsa banjir semasa lawatan turun padang beliau di Kuching, Kota Samarahan, Serian dan Sebuyau. Ia juga diadakan supaya Kementerian dapat menambah baik pengurusan krisis banjir luar biasa di kawasan Limbang dan beberapa kawasan yang masih dilanda banjir.