KUALA LUMPUR DIPILIH ANTARA ' 7 WONDERS CITIES OF THE WORLD'.



Kuala Lumpur telah disenaraikan di antara tujuh bandar paling terbaik di seluruh dunia termasuk Beirut (Lebanon), Doha (Qatar), Havana (Cuba), La Paz (Bolivia), Durban (Afrika Selatan) dan Vigan (Filipina) oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO), New7Wonders.


Pemilihan bandar-bandar itu ditentukan menerusi sistem undian yang diadakan di Dubai, baru-baru ini.



Presiden New7Wonders, Bernard Weber berkata, kempen ini telah bermula sejak 2011, melibatkan penyertaan 1,200 pencalonan daripada 220 negara dari seluruh dunia.



Senarai panel yang mengetuai undian itu adalah terdiri daripada pakar-pakar dalam bidang berkaitan termasuk bekas Ketua Kesatuan Pendidikan, Saintifik dan Budaya, Bangsa-Bangsa Bersatu, Profesor Federico Mayor dan arkitek berpengalaman, Zaha Hadid yang turut terlibat dalam pemilihan 28 bandar yang menjadi calon finalis, dipilih sejak Oktober tahun lalu.



Menurutnya, keputusan undian adalah berdasarkan pendedahan di media sosial serta undian melalui komunikasi telefon.



“Selepas itu bandar-bandar yang terpilih ini akan dilawati terlebih dahulu sebelum diiktiraf bandar terbaik di dunia. Sebaik proses pengesahan dilakukan, New7Wonders kemudiannya akan bekerjasama dengan pihak berkuasa bandar-bandar itu untuk majlis pengiktirafan yang akan diadakan nanti,” katanya.

0 comments: