Pengerusi Pelaburan MARA Berhad, Dato' Sohaimi Shahadan mengucapkan terima kasih dan syabas kepada pengurusan KWSP atas reaksi positif terhadap saranan pengeluaran Akaun 2 oleh pencarum KWSP bagi membaik pulih kelengkapan serta rumah yang terjejas teruk akibat banjir.
Sohaimi menambah " semua pihak yang terlibat seperti Majlis Perbandaran, Majlis Daerah atau Penghulu perlu lebih proaktif memainkan peranan dan bekerjasama dengan pihak KWSP bagi memastikan urusan pengeluaran wang oleh pencarum dapat dilakukan dengan lancar dan pantas. "
Sohaimi yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO juga mencadangkan agar satu pusat sehenti atau kaunter khas dibuka segera di kawasan-kawasan yang berhampiran dengan tempat yang terjejas banjir bagi memudahkan urusan pengeluaran.
Kaunter khas atau pusat sehenti perlu dilengkapi dengan kaunter KWSP, Kaunter Majlis Perbandaran/ daerah yang dapat memberi pengesahan bagi mempercepatkan proses permohonan.
Pihak KWSP juga perlu menggunakan pelbagai medium komunikasi untuk sebaran maklumat berkenaan pengeluaran Akaun 2 oleh pencarum KWSP bagi memastikan mereka yang terlibat ini mendapat maklumat yang jelas dan tepat.
"Pusat Transformasi Bandar atau Urban Transformation Centre (UTC) merupakan lokasi strategik bagi penempatan pusat sehenti atau kaunter khas bagi tujuan pengeluaran akaun 2 oleh pencarum KWSP memandangkan UTC adalah satu pusat sehenti yang serba lengkap", tambah Sohaimi lagi.
"Saya berharap agar tiada pihak yang mengambil kesempatan atau menyalahgunakan kemudahan pengeluaran caruman yang diberikan ini. Gunakalah wang ini dengan tujuan membaikpulih rumah dengan sebaik-baiknya.
Saya juga ingin menyarankan agar lebih banyak pihak tampil turun padang bagi mengenalpasti keperluan atau bantuan yang diperlukan dalam usaha memulihkan kembali negeri-negeri yang terjejas banjir", tambah Sohaimi mengakhiri perbualan.
0 comments: