Kita meninggalkan tahun 2014 dengan mengambil seribu pengajaran dari pengalaman luar biasa yang telah kita harungi sebagai sebuah negara bangsa. Ternyata segala kejayaan dan cabaran besar 2014 telah menyatukan semua rakyat Malaysia sebagai sebuah bangsa besar dan yakin. Maka bagi tahun 2015, harapan saya adalah untuk melihat kesatuan yang lebih erat dan bermakna antara Kerajaan dan rakyat.
Bagi Negeri Johor, pentadbiran saya mempunyai dua fokus utama. Pertama, menggiatkan segala usaha dan ikhtiar untuk memastikan pertumbuhan ekonomi yang inklusif kerana Johor sedang bergerak pantas menjadi sebuah kuasa ekonomi utama Malaysia. Kedua, menambah baik kedudukan negeri ini secara keseluruhan dan mewujudkan masyarakat yang dihakupayakan (‘empowered’). Kedua-dua misi penting ini memerlukan rakyat dilibatkan dengan konstruktif. Rakyat adalah adalah pendukung, pencipta, penggerak, penyumbang dan pemain dalam setiap peringkat pembaharuan dan merupakan nadi pembangunan Johor bukannya sekadar menjadi penerima atau pemerhati pasif. Peranan mereka amat penting dan mereka diseru untuk lebih berperanan.
Bagi Johor, pendekatan ‘kerajaan besar’ atau ‘big government’ harus dan akan berubah. Kita mesti beralih kepada kerangka urus tadbir atau governan yang lebih besar. Oleh itu kita mengalu-alukan dan akan membuka ruang seluas-luasnya untuk rakyat menyumbang dalam apa-apa bentuk sekalipun. Bagi tahun 2015, kita akan memulakan gerakan yang InsyaAllah, suatu masa nanti, mampu mengubah masyarakat Johor kepada sebuah masyarakat besar yang dihakupayakan.
MOHAMED KHALED NORDIN
MENTERI BESAR JOHOR