TREND SEBAR BERITA PALSU MEMBIMBANGKAN

Oleh: Kwok Chin Hoe

Perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi telah banyak mempengaruhi budaya kehidupan masa kini. Ketersediaan pelbagai aplikasi seperti WhatsApp’s, Telegram serta kewujudan laman sosial seperti Facebook, Twitter telah menjadi medium komunikasi dan medan orang ramai mendapatkan informasi terkini. Di sebalik kemajuan tersebut, ada pula individu yang tidak bertanggungjawab menyalahgunakan serta menjadikan ruang digital tanpa sempadan itu sebagai platform menyebarkan berita palsu.

Sejak dua minggu kebelakangan ini, banyak kes berita palsu dikesan, melibatkan pemberitaan bencana banjir yang melanda beberapa buah negeri di Pantai Timur serta pemalsuan berita asal berkenaan tempoh penangguhan sesi sekolah 2015, berikutan bencana banjir yang berlarutan menyebabkan sebahagian sekolah terjejas atau menjadi Pusat Pemindahan Sementara. 

Sekurang-kurangnya sebanyak sepuluh berita palsu mengenai banjir telah dikenal pasti berlegar di laman media sosial. Antaranya adalah berita yang mengkhabarkan berlakunya keruntuhan pusat pemindahan Sekolah Manek Urai, berita palsu yang menuduh kerajaan menyembunyikan fakta kematian ramai orang mati lemas kerana banjir, pintu empangan di Selatan Thailand dibuka dan menyebabkan banjir di Kelantan, bantuan kepada mangsa banjir disekat oleh pihak berkuasa dan sebagainya. 

Berita-berita rekaan yang belum disahkan kesahihannya itu langsung menjadi viral di media sosial sehingga menimbulkan keresahan dan mengundang pelbagai masalah kepada masyarakat dan negara.

Sungguhpun sudah ada tangkapan yang dilakukan oleh pihak berkuasa terhadap individu yang disyaki terbabit menyebarkan berita palsu berkenaan, bahkan amaran kepada orang awam untuk tidak menyebarkan berita palsu turut dikeluarkan, namun, masih ada individu yang tidak merasa serik dan takut, apabila selang beberapa minggu selepas kes penyebaran berita palsu mengenai banjir itu, muncul pula pemalsuan berita berkaitan tempoh penangguhan cuti sekolah. 

Individu yang terlibat mengubah tajuk berserta isi kandungan rencana asal terbitan media arus perdana, daripada tajuk asal “Sesi persekolahan 2015 ditangguh seminggu” disunting menjadi “Sesi persekolahan 2015 ditangguh sebulan”. Sebuah lagi rencana yang disunting pula membuat rekaan kononnya penangguhan seminggu sesi sekolah 2015 yang diumumkan sebelum itu telah dibatalkan. 

Tindakan si pelaku menyebarkan salinan “print screen” berita yang telah disunting itu cukup mengelirukan orang awam, sehingga ramai yang tertanya-tanya kesahihan berita tersebut. Bahkan ada juga yang percaya ia adalah berita yang sahih. 

Gara-gara berita palsu itu, ibu bapa, guru dan pelajar menjadi keliru dan rasa resah. Mujurlah tindakan pantas Kementerian Pendidikan mengesani dan memberi respons menafikan penyebaran berita palsu itu berhasil menangkis kekeliruan masyarakat terhadap penyebaran berita palsu itu.  

Trend menyebarkan berita palsu di media sosial ini sudah menjadi satu bahana yang cukup parah. Jika tidak ditangani dari peringkat awal dan secara menyeluruh, dikhuatiri trend ini akan menjadi ikutan dan modus operandi  seumpamanya akan terus diguna pakai oleh individu-individu tidak bertanggungjawab untuk menyebarkan fitnah dan berita-berita tidak sahih yang boleh mendatangkan ancaman kepada keselamatan, keamanan dan keharmonian negara kita. 

Kwok Chin Hoe ialah Pelajar Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pembangunan Komuniti di Universiti Putra Malaysia (UPM)