Ahli Majlis Tertinggi UMNO Dato' Sohaimi bin Shahadan mempertahankan kenyataan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menggesa orang Melayu memboikot perniagaan orang Cina untuk menurunkan harga barang berikutan penurunan harga minyak oleh Kerajaan yang telah berkuatkuasa pada 1 Februari 2015 yang lalu.
Sohaimi berkata, “mesej utama Ismail adalah amat jelas dimana beliau memperjuangkan hak majoriti dengan menggesa orang Melayu yang mempunyai kuasa selaku pembeli nombor satu di Malaysia untuk memberikan tekanan kepada para pemborong dan peruncit yang enggan menurunkan harga barangan agar segera berbuat demikian. Tindakan memboikot dengan tidak membeli produk yang mahal dan beralih kepada produk lain khususnya keluaran Bumiputera ini akan menjejaskan permintaan dan menyebabkan lambakan produk di pasaran sekaligus berjaya memaksa golongan ini untuk menurunkan harga barangan mereka. Penurunan harga barang ini akan memberi manfaat kepada seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang bangsa.”
Sohaimi yang turut mengutuk dan menyelar tindakan Ketua Pemuda MCA yang cetek mentafsir lantas bersetuju dan bersengkokol dengan parti DAP melabelkan Ismail sebagai sebagai rasis dan bertentangan dengan konsep 1Malaysia yang dipromosikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Tegas Sohaimi, “Pemuda MCA jangan nak jadi ‘hero’ tak bertempat. Saya ingin menasihatkan Ketua Pemuda MCA agar jangan cepat melatah dan menyarankan beliau untuk membaca dan memahami sepenuhnya kenyataan yang disampaikan oleh Ismail. Sohaimi turut menyifatkan tindakan Ketua Pemuda MCA ini tidak matang dan dilihat seperti terdesak untuk meraih sokongan. “Pemuda MCA sepatutnya melihat perkara ini dari aspek makro dan turut serta membantu Kerajaan untuk menjelaskan kepada rakyat tentang kuasa mereka sebagai pembeli dan pengguna untuk turut serta menggesa para pemborong dan peruncit untuk segera menurunkan harga barangan demi kepentingan rakyat.
Sohaimi yang juga Timbalan Pengerusi Persatuan Pedagang Dan Pengusaha Melayu Malaysia (PERDASAMA), menambah " Sudah tiba masanya Kerajaan wajar mengambil langkah drastik dan holistik dengan membuat rombakan semula sistem rantaian bekalan (supply chain) dengan mewujudkan peluang baru khususnya kepada golongan bumiputera untuk menjadi pemain dalam sektor huluan (upstream) dan hiliran (downstream) sekaligus mewujudkan persaingan secara sihat bagi mengekang monopoli pasaran harga barangan oleh sesuatu pihak.
"Kita perlu membuat pendekatan serius dalam mengenalpasti bekalan dan keperluan (supply & demand) terutama melibatkan bekalan komoditi dan pasaran hartanah bagi menyeimbangkan semula harga bekalan sekaligus dapat mengurangkan unsur monopoli harga bagi mengaut keuntungan berganda.
"Semua pihak termasuk agensi kerajaan, swasta, penyedia pinjaman mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu bersatu dan menyokong produk keluaran bumiputera dalam usaha melahirkan lebih ramai usahawan bumiputera yang lebih berdaya saing dan mempelbagaikan produk pengeluaran dan meningkat bidang kepakaran masing-masing.
Sohaimi turut menyeru para pengguna agar menyokong produk dan perkhidmatan keluaran syarikat bumiputera bagi memberi tekanan kepada pihak yang tidak bertanggungjawab yang menaikkan harga barangan sewenang-wenangnya. "Majoriti pengguna di Negara ini adalah Melayu dan kalau Melayu boikot perniagaan mereka, tentu mereka tiada pilihan untuk turunkan harga barang," katanya.
Sohaimi turut bersetuju dengan kenyataan Ismail yang turut mempersoalkan sikap pengguna Melayu yang tidak menyokong produk bumiputera. Sebagai contoh, masih ramai orang Melayu yang makan di kedai yang diragui status halalnya walaupun terdapat banyak restoran Melayu yang menawarkan produk dan perkhidmatan yang setara malah dijamin halal selain berkualiti dengan harga yang amat berpatutatan.
“Ismail telah menyedarkan kita tentang kepentingan dan kuasa kita selaku pengguna. Selagi Melayu tidak bersatu dan berubah, selagi itu orang akan ambil kesempatan untuk tindas Melayu," katanya.
0 comments: