PERDASAMA LANCAR PROGRAM WAKAF AL-QURAN DIGITAL


Sebagai tanda keprihatinan dan menggalakkan pembudayaan Al-Quran dikalangan generasi muda di negara ini,  Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (PERDASAMA) dengan kerjasama pengeluar teknologi Al-Quran Digital, Smart Rich Networks (M) Sdn Bhd (SRN Sdn Bhd) dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Pertubuhan Kebajikan Pelajar-Pelajar Tahfiz Malaysia (TAHFIZ), Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Seluruh Malaysia (PEYATIM) dan Teratak Che Dah telah mengadakan Majlis Pelancaran Program Wakaf Al-Quran Digital bagi mengumpul dana untuk membeli Al-Quran Digital untuk disumbangkan kepada kumpulan asnaf, rumah anak-anak yatim dan sekolah tahfiz di seluruh negara. 

Majlis Pelancaran Program Wakaf Al-Quran Digital ini  telah disempurnakan  oleh Naib Pengerusi PERDASAMA Malaysia, Dato’ Sohaimi bin Shahadan dan turut dihadiri oleh wakil daripada PEYATIM, TAHFIZ, Teratak Che Dah dan SRN.

Menurut Sohaimi, ”Sumbangan ini  tidak  tertumpu kepada golongan individu sahaja malah saya juga ingin menyarankan kepada syarikat-syarikat korporat untuk menunaikan tanggungjawab korporat (CSR) mereka untuk menghulurkan sumbangan dengan menggunakan bajet CSR atau bajet  zakat bagi merealisasikan objektif utama kami iaitu menggalakkan pembudayaan Al-Quran dikalangan generasi muda di negara ini.”


“Pemilihan Al-Quran Digital dalam kempen Wakaf Al-Quran ini amat bersesuaian kerana Al-Quran digital ini direka khas supaya lebih interaktif, mesra pengguna dan berupaya menarik minat semua lapisan masyarakat untuk menggunakannya. Ini secara tidak langsung dapat memupuk minat membaca Al-Quran dikalangan masyarakat sekaligus berupaya membudayakan Al-Quran dalam kehidupan seharian,” tambah Sohaimi. 

Sohaimi meletakkan sasaran jumlah kutipan sumbangan menerusi program Wakaf Al-Quran Digital ini adalah  sebanyak 5000 unit dalam tempoh 4 bulan dimana sumbangan ikhlas boleh disalurkan ke Tabung Wakaf Al-Quran Digital (Maybank 1627 4013 5601) bermula dari tarikh  hari ini, 13 Februari sehingga 30 Jun 2015.

”Satu majlis penyerahan sumbangan Wakaf Al-Quran Digital akan diadakan pada bulan Ramadhan iaitu sekitar awal bulan Julai ini dimana naskhah Al-Quran Digital ini akan diserahkan kepada pihak PEYATIM, TAHFIZ dan Teratak Che Dah untuk diagihkan kepada rumah-rumah anak yatim di bawah PEYATIM, Sekolah-sekolah Tahfiz di bawah TAHFIZ dan penghuni Teratak Che Dah,” tambah Sohaimi lagi.

Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut boleh menghubungi En Ameer Firdaus (019-2174110) atau Anne (019-2445438)