KWSP: CADANGAN POLISI KERAJAAN PERLU AMBIL KIRA SEMUA FAKTOR


Saya merujuk kepada cadangan yang diutarakan oleh Ketua Pengarah Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) semalam untuk menaikkan had umur pengeluaran wang simpanan pencarum dari umur 55 tahun ke 60 tahun.

Wanita UMNO memuji langkah agensi kerajaan yang sentiasa berusaha menambahbaik polisi yang sedia ada demi kepentingan rakyat. Keberkesanan sistem KWSP diakui jelas memberikan kesan yang baik kepada kualiti hidup rakyat Malaysia selepas tempoh persaraan.

Bagaimanapun, Wanita berpendapat setiap cadangan yang dikemukakan haruslah diperhalusi dengan mengambilkira semua faktor sebelum ia diumumkan kepada rakyat. Ini kerana, walaupun ia masih di peringkat cadangan, kadangkala ia boleh disalahtafsirkan dan menimbulkan kegusaran rakyat.

Seperti cadangan yang diumumkan KWSP semalam, Wanita merasakan had umur 55 tahun yang diaplikasikan di dalam sistem yang sedia ada merupakan had umur yang bersesuaian dan berpatutan berdasarkan kualiti hidup dan tahap kesihatan yang baik bagi rakyat di Malaysia.

Selain itu, Wanita juga mencadangkan KWSP untuk mewajibkan para pencarum melalui kursus pengurusan kewangan dan pelaburan sebelum mencapai umur 55 tahun untuk memberi kesedaran dan mempersiapkan diri mereka sebelum mengeluarkan simpanan mereka.

Kesimpulannya, rakyat Malaysia harus diberi pilihan untuk menguruskan hasil titik peluh mereka yang telah dikumpul secara wajib selama berpuluh tahun. Agensi Kerajaan boleh bertindak sebagai penasihat kewangan kepada rakyat dalam mempertingkatkan lagi mutu kehidupan pencarum KWSP. Kami percaya, melalui kempen kesedaran yang efektif dan berterusan akan dapat menyedarkan rakyat tentang peri pentingnya mengurus wang simpanan secara bijak dan berhemah.

DATO' ROSNI HAJI ZAHARI
Ketua Penerangan 
Pergerakan Wanita UMNO Malaysia