LIF ROSAK JEJAS RUTIN HARIAN PENGHUNI DI PPR


Oleh: Kwok Chin Hoe

Masalah lif, kegiatan vandalisme, tempat parkir yang tidak cukup, masalah sampah dan masalah kebersihan, isu kebocoran paip serta soal keselamatan seolah-olah sudah sebati dan sinonim dengan kehidupan penghuni di perumahan kos rendah Projek Perumahan Rakyat (PPR). Sebut saja tentang PPR atau turun saja ke lapangan melawat kawasan berkenaan, maka akan didapati bahawa sebahagian besar perumahan kos rendah yang ada di negara ini berdepan masalah yang sama seperti disenaraikan di atas. 

Masalah kerosakan lif dan lif tidak berfungsi merupakan antara masalah utama di PPR. Apabila berlakunya kerosakan lif atau lif tidak berfungsi, serta proses penyelenggaraan dan kerja baik pulih oleh agensi berkaitan mengambil masa berbulan lamanya, maka ia menimbulkan pelbagai masalah hingga menjejaskan rutin harian dan menyulitkan kehidupan penduduk di PPR. Keadaan makin getir lebih-lebih lagi di waktu puncak, di mana semua penghuni akan berebut-rebut untuk menggunakan lif, ada penghuni yang terkejar-kejar untuk keluar bekerja dan ada yang mengejar masa untuk ke sekolah. 

Selain itu, kegagalan lif sedia ada berfungsi turut menyebabkan penghuni yang tinggal di tingkat atas terpaksa menaiki anak tangga, menyebabkan mereka mengambil masa yang lama untuk sampai ke rumah masing-masing atau sebaliknya apabila ingin keluar rumah. Keadaan sedemikian pastinya amat membebankan penduduk setempat khususnya dalam kalangan warga emas dan OKU, menanggung keperitan turun naik anak tangga yang jaraknya melangkau berbelasan tingkat dari unit kediaman mereka. 

Situasi bertambah buruk apabila berlakunya kes-kes kecemasan seperti sakit, kemalangan di rumah atau kes kematian melibatkan penduduk yang tinggal di tinggal atas. Tanpa ada pilihan, penduduk terbabit terpaksa rela menuruni anak tangga, tingkat demi tingkat  untuk dapatkan khidmat bantuan.  

Selain masalah kerosakan lif dan kesan kerosakan yang dinyatakan di atas itu, penghuni di PPR juga kerap kali berdepan dengan masalah lif dipenuhi dengan bau busuk dan hancing, sampah-sarap yang dibuang di dalam dan luar lif serta kesan –kesan kegiatan vandalisme seperti contengan atau simbahan cat pada lif sehingga menimbulkan ketidakselesaan pada mereka yang menggunakan lif.  

Oleh itu, pihak berkuasa tempatan, agensi kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan seharusnya meletakkan keutamaan pada isu ini dan bekerjasama mengenal pasti lif yang rosak atau tidak berfungsi di PPR di setiap negeri serta bertindak segera bagi memulakan kerja penyelenggara dan membaik pulih kerosakan tersebut, di samping meneruskan usaha pemantauan berkala bagi memastikan lif yang telah dibaiki itu berfungsi sebaiknya demi keselesaan dan kesejahteraan penghuninya.   

Kwok Chin Hoe ialah Pelajar Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pembangunan Komuniti di Universiti Putra Malaysia (UPM)