PESAN ANWAR DARI PENJARA, JANGAN BERI RUANG KEPADA UMNO/BN


Ketua Umum KEADILAN, Saudara Anwar Ibrahim mengingatkan supaya tidak memberi ruang sedikitpun kepada Umno

Barisan Nasional (BN) merampas kerusi Permatang Pauh dari tangan Pakatan Rakyat.

Katanya, Pakatan perlu meneruskan perjuangan bagi memastikan kemenangan di Parlimen itu dipertahan demi untuk kepentingan rakyat.

Pesanan itu disampaikan Anwar kepada Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ketika isterinya itu melawat beliau di Penjara Sungai Buloh 10 April lalu.

“Anwar berpesan minggu lalu semasa saya melawat beliau, Permatang Pauh mesti dikekalkan kemenangannya.

“Jangan beri sedikit pun ruang kepada Umno BN. Kemenangan Umno BN adalah penderitaan kepada rakyat,” ujar Wan Azizah menyampaikan pesan Anwar ketika berucap di Majlis Pelancaran Jentera Pakatan Rakyat Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh di Guar Perahu, Penanti malam tadi yang dihadiri 1,000 penyokong.

PRK Permatang Pauh akan diadakan pada 7 Mei ini manakala penamaan calon pula 25 April, serta pengundian awal ditetapkan pada 3 Mei.

PRK Permatang Pauh diadakan berikutan keputusan Lembaga Pengampunan pada 16 Mac lalu yang menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon anggota keluarga Anwar sekaligus menyebabkan Ketua Pembangkang itu hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen.

Anwar yang berasal dari Cherok Tok Kun, Bukit Mertajam, mula bertanding kerusi Parlimen Permatang Pauh pada PRU ke-6 pada April 1982
atas tiket BN dengan mengalahkan calon PAS, Zabidi Ali dengan majoriti 14,352 undi.

Beliau mempertahankan kerusi itu sehingga dijatuhi hukuman penjara pada 1999, dan kerusi tersebut dimenangi Wan Azizah pada pilihan raya umum (PRU) ke-10 pada November 1999.

Anwar yang dibebaskan daripada penjara pada 2 September 2004, tidak dibenarkan berpolitik selama lima tahun berkuat kuasa daripada tarikh pembebasan.

Wan Azizah bagaimanapun terus mempertahankan kerusi itu sehingga mengosongkannya pada 31 Julai 2008 bagi memberi laluan kepada Anwar untuk bertanding kerusi itu dalam PRK Parlimen itu pada Ogos 2008.

Anwar memenangi kerusi itu dengan mengalahkan calon BN, Datuk Arif Shah Omar Shah dengan majoriti 15,671 undi.

Pada PRU 13 lalu, Anwar yang bertanding atas tiket KEADILAN menang kerusi Parlimen Permatang Pauh mengalahkan calon BN, Datuk Mazlan Ismail dan calon bebas Abdullah Zawawi Samsudin dengan majoriti 11,721 undi.