PROJEK PEMBINAAN SMK SONG NO. 2 TERTUNDA?


Oleh: Kwok Chin Hoe

Pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan Song No.2 di Daerah Song, Sarawak sememangnya dinantikan oleh seluruh warga penduduk daerah ini berikutan keperluan mendesak bagi menampung pertambahan bilangan pelajar di sekolah sedia ada. 

Buat masa ini, kebanjiran pelajar di daerah ini hanya mampu ditempatkan di 2 buah sekolah utama iaitu SMK Song dan SMK Katibas. SMK Song terletak di sekitar Pekan Song, dan SMK Katibas pula terletak agak jauh di sudut pedalaman dan hanya dapat diakses menerusi jalan air. 

Atas faktor lokalitinya yang terletak jauh dari kawasan Pekan, maka pelbagai kemudahan asas serba tidak lengkap di SMK Katibas. Contohnya, sekolah ini bergantung pada generator jana kuasa untuk tenaga elektrik kegunaan harian seluruh warga sekolah. Malangnya generator di sekolah ini kerap kali rosak dan agak mencabar buat penghuni sekolah ini sama ada pelajar, guru atau kakitangan pentadbiran apabila mereka harus menanggung hari-hari tanpa bekalan elektrik di sebelah siang atau pun malam. Akibatnya, rutin harian warga pelajar, pendidiknya dan pentadbir sekolah kerap terjejas.

Generator jana kuasa elektrik di sekolah ini telah berusia dan sering kali rosak semenjak 3 tahun kebelakangan ini, sungguhpun ada kerja penyelenggaraan dilakukan, namun masih belum ada usaha untuk menggantinya dengan yang baru. Seharusnya ada tindakan daripada pihak berwajib mempertimbangkan untuk menggantikan generator jana kuasa lama itu dengan yang baru apabila mereka mendapat tahu daripada laporan-laporan pihak sekolah yang mendedahkan masalah kerosakan generator kerap berlaku di sekolah berkenaan. 

SMK Song pula menjadi tumpuan ibu bapa, baik mereka yang tinggal di pekan Song, atau pun mereka yang tinggal di kawasan pedalaman untuk menghantar anak-anak mereka melanjutkan pelajaran ke sekolah menengah, sebaik anak-anak mereka menamatkan persekolahan di sekolah rendah. Lokaliti SMK Song yang mudah diakses dan kemudahan asasnya yang lebih lengkap serta sekolah berkenaan juga menawarkan tempat kepada pelajar untuk menyambung pengajian ke Tingkatan 6 telah menarik kemasukan pelajar ke sekolah berkenaan. 

Pertambahan enrolment pelajar ke SMK Song telah menyebabkan sekolah berkenaan mengadakan dua sesi persekolahan sejak 10 tahun lepas bagi menampung keperluan tersebut. Oleh itu, niat kerajaan mengumumkan pembinaan sekolah baharu iaitu SMK Song No. 2 sememangnya diterima baik dan dianggap tepat pada masanya serta diyakini dapat menyelesaikan isu pertambahan pelajar sekolah di daerah ini tanpa perlu lagi mengadakan dua sesi persekolahan. Sekolah baharu yang dibina itu apabila siap nanti turut diharapkan dapat menyediakan pelbagai kemudahan dan fasiliti yang lebih sempurna untuk kegunaan pelajar dan guru-guru dalam proses pembelajaran dan pengajaran. 

Malangnya, Projek pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan Song No.2 yang dijadualkan siap pada 17 September 2014 itu mengalami kelewatan dan gagal disiapkan oleh kontraktor mengikut jadual asal seperti yang telah ditetapkan. Kegagalan menyiapkan projek itu dalam kerangka masa yang ditetapkan kononnya disebabkan kelemahan pengurusan oleh kontraktor serta kekurangan pekerja di tapak binaan. Atas sebab itu, kontraktor asal sudah ditamatkan dan kini projek tersebut diserahkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak untuk pemantauan dan pelantikan kontraktor baharu. 

Penduduk di daerah ini terpaksa bersabar dan terus menanti untuk sekian lamanya lagi sebelum anak-anak tempatan dapat membuka tirai merasmikan Sekolah Menengah Kebangsaan Song No.2. 

Kwok Chin Hoe ialah Pelajar Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pembangunan Komuniti di Universiti Putra Malaysia (UPM)

0 comments: