PENGHUNI SMK KATIBAS, BERGELAP DAN MANDI AIR SUNGAI


Oleh: Kwok Chin Hoe

Masalah tiada bekalan elektrik dan air terus berlarutan di SMK Katibas iaitu sebuah sekolah yang terletak jauh di sudut pedalaman Daerah Song, Sarawak dan hanya dapat dijejaki menerusi jalan air. 

Atas faktor lokalitinya yang terletak jauh daripada kawasan pekan dan bandar, sekolah ini bergantung sepenuhnya pada generator jana kuasa untuk menjana tenaga elektrik kegunaan harian seluruh warga sekolah.

Generator yang telah rosak.

Daripada empat buah generator asal yang dibekalkan, tahun demi tahun, satu demi satu generator di sekolah itu mengalami kerosakan. Sungguhpun pelbagai usaha penyelenggaraan pernah dilakukan, namun, ia gagal menyelamatkan jangka hayat generator itu hingga berakhir dengan sebuah sahaja generator yang berfungsi membekalkan elektrik untuk kegunaan warga di SMK Katibas. 

Generator tunggal itulah menjadi sandaran harapan warga sekolah ini untuk terus menikmati sinaran cahaya lampu tatkala di waktu malam, terutamanya kepada para pelajar yang membuat sesi ulang kaji dan membolehkan mereka menyiapkan segala keperluan serta kelengkapan diri di asrama pada waktu malam untuk sesi persekolahan hari berikutnya.

Malang tak berbau, apabila generator tunggal yang telah berusia dan kerap rosak itu akhirnya gagal bertahan dan berfungsi sejak seminggu yang lepas. Kini, seluruh penghuni sekolah ini sama ada pelajar, guru atau kakitangan pentadbiran harus menanggung hari-hari tanpa bekalan elektrik. Oleh sebab tiada bekalan elektrik, sebelah siang, mereka harus bermandikan penuh untuk menjalani sesi pengajaran dan pembelajaran kerana kipas tidak berfungsi, manakala, di sebelah malam pula mereka harus bergelap, tanpa pencahayaan lampu. 

Bukan itu sahaja, ketiadaan sumber elektrik itu turut mengakibatkan pam air di sekolah berkenaan gagal berfungsi, dan buat masa ini bekalan air di seluruh sekolah itu terputus. Akibatnya, pelajar yang menginap di asrama dan guru-guru di sekolah itu terpaksa bermandikan air sungai, segala kegunaan air seperti untuk mencuci pakaian, kegunaan tandas, memasak dan sebagainya hanya bersumberkan air sungai. 

Masalah ketiadaan elektrik dan bekalan air itu yang berlarutan dikhabarkan telah menyebabkan kadar kehadiran pelajar ke sekolah menurun kerana mereka tidak tahan dengan situasi di sekolah yang tiada elektrik dan bekalan air!.

Guru-guru terpaksa menggunakan air sungai untuk mencuci keperluan harian mereka.

Masalah tersebut sudah berpanjangan selama seminggu dan hampir pasti berlanjutan untuk berminggu-minggu berikutnya lagi kerana usaha membaik pulih generator itu gagal, dan kini generator itu terpaksa dipunggah dan dihantar ke bandar Sibu untuk dibaiki. Proses itu akan mengambil masa yang lama, tiada siapa boleh menjangkakan bila generator itu akan berjaya dipulihkan dan kembali beroperasi serta berfungsi. 

Bahkan semua penghuni sekolah itu sedar, sekalipun generator itu berjaya dipulihkan dan dapat berfungsi semula, generator "tua" itu akan kembali mengalami kerosakan yang sama. Sudah tiba masanya generator itu ditukarkan dengan yang baru!

Seharusnya ada tindakan daripada pihak berwajib mempertimbangkan untuk menggantikan generator jana kuasa lama itu dengan yang baru apabila mereka sering mendapat laporan daripada pihak sekolah yang mendedahkan masalah kerosakan generator kerap berlaku di sekolah berkenaan dan masalah tersebut yang berlarutan untuk tempoh masa yang lama telah menjejaskan dengan teruk rutin harian para pelajar dan guru.

Kwok Chin Hoe ialah Calon Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pembangunan Komuniti di Universiti Putra Malaysia (UPM) 

0 comments: