RMK 11 : TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI.


Selawat dan Salam kepada Rasul Junjungan, Nabi Muhammad SAW, suri tauladan sepanjang zaman. Tuan Yang Dipertua, Saya dengan penuh ta'zim berdiri dalam Dewan yang mulia ini, untuk mengemukakan satu usul: 

Bahawa Dewan ini, menyedari akan cabaran pertumbuhan ekonomi serta pencapaian sosioekonomi semasa pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesepuluh;

merestui usaha Kerajaan untuk meneruskan Dasar Transformasi Nasional atau DTN dalam merangka dan merencana Rancangan Malaysia ke 11 seterusnya; 

meluluskan pelaksanaannya bertunjangkan falsafah Dasar Transformasi Nasional dalam ikhtiar menjadi sebuah negara maju pada tahun 2020, menurut Kertas Perintah 23 Tahun 2015; dan Bahawa dalam meluluskan Rancangan Malaysia Ke-11, Dewan yang mulia ini menyeru agar semua pihak bersama-sama dan berusaha menjayakan matlamatnya

 Tuan Yang Dipertua serta Ahli-Ahli Yang Berhormat, 

1. Beberapa hari yang lalu, kita baru sahaja meninggalkan bulan Rejab. Hari ini pula, Khamis 21 Mei, jatuhnya bersamaan 3 Syaaban 1436 Hijrah, pada salah satu bulan yang mulia, sampailah masa dan ketika yang ditetapkan oleh Allah SWT, bahawa, sebuah lagi dokumen penting lagi bersejarah akan dipersembahkan. 

2. Sepertimana tercatat dalam kitab suci Al-Quran, Surah Ali-Imran Ayat 26 dan Ayat 54. Mafhumnya, naik turun atau jatuh bangun sesebuah kerajaan itu adalah dalam rahsia dan kekuasaan penuh Pemilik semesta raya, bukannya di tangan makhluk.

 3. Begitulah juga, kemampuan manusia merancang, amat terbatas, kerana sebaik-baik Perancang adalah Tuhan seru sekalian alam. Tuan Yang Dipertua, 

4. Menyusur titian masa, semenjak tahun 1971 hingga 1990, kita telah melalui Dasar Ekonomi Baru atau DEB, dipelopori oleh Allahyarham Tun Abdul Razak, yang mengutamakan pembasmian kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat. 

5. Di mana ketika itu, untuk mencapai sasaran sosio ekonomi yang lebih saksama, sebagai satu cara mewujudkan keharmonian dan perpaduan dalam negara, yang terdiri daripada pelbagai kumpulan etnik dan agama. 

6. Kemudiannya, bermula tahun 1991, sampai kepada tahun 2000, diperkenalkan pula, oleh Tun Dr. Mahathir, Dasar Pembangunan Nasional yang berfokuskan pembangunan seimbang dan membawa kepada lahirnya Wawasan 2020. 


7. Dalam pada itu, Dasar Wawasan Negara dilaksanakan, melewati tahun 2001 hingga 2010. Dasar ini pula, memberi penekanan kepada pembangunan masyarakat berasaskan pengetahuan dan mewujudkan bangsa Malaysia yang bersatu padu, progresif lagi makmur, menuju negara maju menjelang 2020.