SALAHKAH MELAYU BERHIMPUN ?


Kenapa sampai tidak lena tidur? Kenapa harus melemparkan pandangan negatif? Kenapa ada perasaan resah tidak bertempat? Itulah persoalan yang harus dijawab pihak-pihak tertentu termasuk ahli politik berikutan kebimbangan tidak tentu pasal mereka berhubung Himpunan Rakyat Bersatu pada Rabu ini.
Apakah kerana ia perhimpunan yang akan disertai oleh majoriti orang Melayu maka perlu ditentang dengan pelbagai alasan? Fikirkanlah kenapakah tiada mana-mana pihak yang bersuara lantang membantah apabila Bersih menganjurkan 4 perhimpunannya sebelum ini?
Alasan yang diberikan penganjur Bersih ialah ia tidak bertentangan dengan demokrasi dan termaktub dalam Akta Perhimpunan Aman 2012 - walaupun mereka akhirnya tidak mematuhinya. Berikutan itu orang Melayu juga boleh mengadakan perhimpunan kerana hak mereka juga ada dalam akta tersebut.
Justeru tidak perlu mana-mana pihak memberi hujah dangkal termasuklah jangan bercakap soal Tanah Melayu kerana ia sudah tidak lagi wujud atau perhimpunan itu hanya menjadikan orang Melayu sebagai bahan ketawa. Malah usahlah bercakap soal ia tidak sesuai diadakan kerana pada hari tersebut merupakan Hari Malaysia.
Ketika Bersih mengadakan perhimpunan pada 29 Ogos dan 30 Ogos lalu, adakah pihak yang mengeluarkan hujah tersebut bercakap soal berkaitan rakyat Malaysia? Adakah pada masa itu mereka bercakap kelompok Bersih akan diketawakan? Dan paling kita mahu tahu adakah Bersih mempertimbangkan ia diadakan ketika kemeriahan sambutan Hari Kebangsaan?
Kalaupun mahu menunjukkan sikap toleransi atau terbuka sekali pun, jangan membangkitkan perkara yang sebelum ini mereka sendiri takut untuk bersuara lantang ketika perhimpunan haram Bersih. Janganlah terus berada dalam sindrom orang lain buat tak apa, orang Melayu buat tidak boleh!
Silakan jika mahu mentafsirkan perhimpunan 16 September ini tindak balas terhadap kebiadaban Bersih tetapi ia diadakan dengan niat baik iaitu menunjukkan penyatuan orang Melayu. Ia bukanlah soal untuk menunjukkan kekuatan mana-mana pihak tetapi sebagai isyarat, kalau pihak lain boleh berkumpul, kenapa orang Melayu tidak boleh berkumpul? Kenapa takut sangat?
Apakah ketika Bersih mengadakan perhimpunan haram yang disokong parti pembangkang ia bukan bertujuan untuk menunjukkan kekuatan kononnya mereka mendapat sokongan rakyat? Adakah ketika itu Bersih memikirkan imej negara seperti mana ada pihak menuduh perhimpunan 16 September ini hanya akan memburukkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa?
Bukankah apabila majoriti peserta Bersih terdiri daripada kaum Cina, ia boleh mewujudkan tafsiran yang bukan-bukan? Bukankah apabila segelintir mereka melakukan perbuatan biadab dengan memijak gambar pemimpin Melayu, ia menimbulkan andaian itu satu provokasi?
Perhimpunan 16 September perlu dilihat sebagai perhimpunan solidariti orang Melayu. Ia akan menjadi platform untuk mereka menzahirkan pandangan dan perasaan tetapi sudah pasti dalam batas yang dibenarkan undang-undang.
Pihak yang gelisah tidak tentu hala berikutan perhimpunan itu perlu menghapuskan perasaan tersebut. Kalau mereka yakin rakyat perlu diberi kebebasan berhimpun seperti mana Bersih, kenapakah perlu melatah apabila orang Melayu hendak melakukan perkara yang sama?
Apakah buruk sangat orang Melayu? Apakah jahat dan ganas sangatkah orang Melayu sehingga mereka hendak berhimpun pun dibimbangi akan tercetus kekacauan? Penulis percaya semua peserta perhimpunan 16 September tahu implikasinya jika mereka membuat perangai yang bukan-bukan. Malah sudah ada jaminan daripada kelompok yang akan menyertainya ia bukanlah perhimpunan bermotifkan perkauman atau tindakan membalas dendam.
Jika sebelum ini Bersih atau mereka yang menyokong Bersih meminta kerajaan tidak memandang serong perhimpunan haram yang mereka anjurkan termasuk bermati-matian menafikan mahu menjatuhkan kerajaan maka tiada mana-mana pihak harus memandang serong perhimpunan 16 September nanti.
Orang Melayu juga ada hak berhimpun sama seperti rakyat Malaysia yang lain. Tambahan pula, perhimpunan itu turut menjemput kaum lain. Justeru kalau Bersih tidak mahu dilihat perhimpunan yang ditafsirkan menunjukkan ‘belang’ mana-mana kaum, maka janganlah memandang negatif jika perhimpunan 16 September nanti didominasi orang Melayu.
Sesiapa sahaja yang berjiwa Melayu sepatutnya tidak menentang perhimpunan itu. Apa yang penting seperti juga orang lain, kita mahu siapa pun yang terlibat mengadakan sebarang perhimpunan harus memastikan ia berlangsung secara aman, tertib dan harmoni.
Jangan ada tindakan provokasi seperti mana kebiadaban yang ditunjukkan segelintir peserta Bersih baru-baru ini. Tidak kira orang Melayu, Cina atau India kalau mahu berhimpun ikutlah undang-undang kerana hak mereka dibenarkan dalam amalan demokrasi.
Singkirkanlah fikiran negatif atau berat sebelah apabila melihat perhimpunan melibatkan majoriti orang Melayu boleh mengundang bahaya dan menggugat ketenteraman seolah-olah macamlah orang Melayu jahat sangat, sedangkan kalau mahu diambil kira apa yang berlaku ketika perhimpunan Bersih sebelum ini lebih teruk.
Jika benarlah orang Melayu jahat dan suka menimbulkan kekacauan sudah lama negara ini berada dalam huru-hara berikutan tindakan pihak-pihak tertentu yang terus melakukan perbuatan yang dilihat mencabar apa yang sudah termaktub dalam Perlembagaan.
Oleh itu adalah diharapkan perhimpunan yang bakal diadakan diterima secara terbuka kerana jika hujah ‘suara dan kuasa rakyat’ digunakan bagi ‘menghalalkan’ perhimpunan haram Bersih, maka orang Melayu juga berhak berhimpun atas alasan yang sama. –  zulkifli bakar utusan.com.my, 14 September, 2015.