SEMUA LEBUHRAYA PLUS AKAN NAIK 5 PERATUS

Semua lebuhraya di bawah PLUS akan mengalami kenaikan sebanyak lima peratus bermula tahun hadapan, kata Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin di Parlimen pada Isnin.

Beliau bagaimanapun berkata kadar tol Jambatan Pulau Pinang terkecuali dan kadar sedia ada kekal sehingga 31 Disember 2018.

“Perjanjian terkini juga menetapkan kenaikan kadar tol sebanyak lima peratus sahaja setiap tiga tahun mulai 2016 hingga tamat tempoh konsensi pada 31 Disember 2038,” katanya menerusi jawapan bertulis kepada Ahli Parlimen Setiawangsa, Datuk Johari Abdul Ghani.

Johari dalam soalannya meminta kerajaan menjelaskan, benar atau tidak kenaikan tol akan berterusan sehingga 2038.

Menurut Rosnah, berdasarkan perjanjian konsensi tambahan PLUS yang ditandatangani pada November 2011, kerajaan dan PLUS Expressway Berhad (PEB) bersetuju untuk tidak menaikkan kadar tol bagi semua lebuh raya PLUS bagi tempoh lima tahun sehingga 2015.

Sebelum 2011, kenaikan kadar tol ialah sepuluh peratus untuk setiap tiga tahun bagi PLUS.

“Bagaimanapun kerajaan akan menyemak dahulu permohonan PLUS untuk kenaikan tol dengan memgambil kira ‘consumer price index (CPI) dan ini bermakna tiada kenaikkan secara outomatik untuk PLUS,” katanya.

Lebuhraya yang terlibat ialah Lebuhraya Baru Lembah Klang  (NKVE), Lebuhraya Persekutuan Laluan Dua, Lebuhraya Seremban-Port Klang, Lingkaran Tengah Lebuhraya Utara-Selatan, Lingkaran Kedua Malaysia-Singapura dan Lebuhraya Butterworth-Kulim.

0 comments: