EDRA TURUT MENJUAL TRACK 4B - AWER

Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) mendedahkan projek Track 4B yang merupakan turbin gas kitaran bersepadu (CCGT) 2000 MW di Melaka dan 10 x 50MW loji janakuasa solar skala utiliti yang dianugerahkan melalui rundingan terus kepada 1MDB tahun lepas, telah termasuk dalam penjualan aset-aset tenaga Edra Global Energy Berhad (Edra).

Presiden AWER, S. Piarapakaran berkata, berdasarkan maklumat yang diterimanya, loji-loji janakuasa itu masih belum dibina dan ini mengesahkan kerisauan terburuk AWER bahawa pemilik projek loji janakuasa menjual hak pembangunan projek untuk pulangan kewangan semata-mata, telah menjadi kenyataan.

Menurut beliau, AWER mempersoalkan apakah Suruhanjaya Tenaga telah meluluskan penjualan hak pembangunan projek loji janakuasa untuk pulangan kewangan semata-mata.

“Jika ya, tindakan oleh Suruhanjaya Tenaga ini adalah bertentangan dengan fungsi-fungsi dan tanggungjawab-tanggungjawabnya yang termaktub di dalam Akta Suruhanjaya Tenaga dan Akta Bekalan Elektrik.

“Pada masa yang sama, jika penjualan hak pembangunan projek loji janakuasa untuk pulangan kewangan dibenarkan, ini akan membuka ruang bagi permohonan yang sama daripada pemilik Track 4A (1000 MW - 1400 MW CCGT) yang pembinaannya tertangguh untuk menjual hak membangunkan loji janakuasa kepada entiti lain untuk pulangan kewangan yang cepat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Piarapakaran berkata, AWER juga menuntut penjelasan kerajaan sama ada benar atau tidak had pemilikan ekuiti asing dalam sektor tenaga sebanyak 49 peratus sudah dimansuhkan bagi memberi laluan firma asing mengambil alih aset Edra.

Katanya, isu had pemilikan ekuiti asing ini telah dilaporkan secara meluas di dalam dan luar negara bahawa Malaysia mempunyai had pemilikan ekuiti asing sebanyak 49 peratus bagi sektor penjanaan elektrik negara sebelum bidaan penjualan aset-aset tenaga 1MBD tersebut ditutup.

“Maka, mana-mana entiti yang menyertai bidaan ini mesti mematuhi dasar ini dan kerajaan tidak perlu melayan sebarang permintaan untuk menukar dasar bagi mengelakkan menetapkan dahuluan (precedence) yang tidak baik dalam industri,” katanya.

AWER kata Piarapakaran, turut meminta penjelasan apakah kerajaan telah melaksanakan analisis kos faedah jangka pendek dan jangka panjang untuk 100 peratus pemilikan ekuiti asing bagi aset-aset strategik negara seperti loji-loji janakuasa.

Ini kerana ujar beliau, jika pembida asing memenangi bidaan penjualan aset-aset tenaga 1MDB dan had pemilikan ekuiti asing dikecualikan, ia bermakna hampir 18 peratus aset-aset penjanaan tenaga elektrik negara akan dikuasai oleh syarikat asing.

Menurutnya, kapasiti terpasang aset tenaga 1MDB yang sedia ada di Malaysia adalah 3,112 MW dan tambahan 2,500 MW loji janakuasa yang belum dibina (CCGT Melaka dan projek solar) juga termasuk dalam pembidaan semasa.

Dalam kebanyakan kes kata beliau, pelabur-pelabur asing akan membawa bersama rantaian bekalan mereka ke negara yang mereka melabur.

Oleh itu, kerajaan perlu menangani isu-isu penting melalui analisis kos faedah jangka pendek dan jangka panjang dengan membandingkan kedua-dua pemilikan tempatan dan asing iaitu Pelaburan 

Asing Langsung (FDI) yang akan dibawa masuk serta peluang pekerjaan yang baru yang diwujudkan bagi rakyat.