UEC : DAP MAHU HERET KAMALANATHAN KE JKUASA HAK DAN KEBEBASAN

Ahli Parlimen Sandakan, Wong Tien Fatt mahu Timbalan Menteri Pendidikan, P. Kamalanathan dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana menghina Dewan Rakyat.
Wong berkata, ia berpunca daripada kenyataan Kamalanathan di Dewan Rakyat, minggu lalu, berhubung keputusan Kabinet pada 6 November tahun lalu mengenai Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) tidak diiktiraf disebabkan kepentingan negara.


Pengerusi DAP Sabah itu mengemukakan usul itu kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, hari ini, sambil menambah bahawa dua menteri daripada MCA, iaitu Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Wee Ka Siong turut membantah kenyataan Kamalanathan itu.
“(Oleh itu) timbalan menteri itu telah melanggar Perintah Tetap Parlimen Seksyen 36(12). Saya cadangkan beliau dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan berhubung kenyataannya itu.
“Dua versi telah muncul daripada mesyuarat Kabinet (Jemaah Menteri) yang menimbulkan kekeliruan. Jika timbalan menteri itu salah petik minit mesyuarat, maka beliau bersalah, kerana mencemarkan nama baik kerajaan persekutuan.
“Tindakan Ahli Parlimen Hulu Selangor itu adalah penghinaan kepada Dewan Rakyat yang turut mencemarkan nama baik Dewan Rakyat.
“Jadi, saya cadangkan usul ini dibentang di Dewan Rakyat untuk dibahaskan dan diluluskan pada 5 April 2016,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Pada 29 Mac lalu, Kamalanathan berkata, keputusan Jemaah Menteri berhubung perkara itu menyatakan UEC tidak mematuhi kurikulum kebangsaan dan falsafah pendidikan negara.
“Ia turut membabitkan kepentingan dan kedaulatan negara,” Kamalanathan beritahu Dewan Rakyat minggu lalu.
Sehubungan itu, Liow dan Wee menggesa Kamalanathan menarik balik kenyataan kononnya kerajaan enggan mengiktiraf UEC disebabkan “kedaulatan negara”, kerana kedaulatan negara tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri.FMT