BARISAN NASIONAL AKAN HILANG SEJUTA UNDI SEKIRANYA PENIAGA ONLINE DI KENAKAN CUKAI


PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) akan hilang lebih sejuta undi sekiranya kerajaan mengenakan cukai keatas perniagaan dalam talian (online) tahun hadapan.

Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana (IKHLAS), Mohd Ridzuan Abdullah berkata ramai dalam kalangan peniaga atas talian merupakan peniaga muda yang menceburi bidang keusahawanan untuk mencari rezeki.

Katanya, golongan peniaga kecil ini akan membantah sekiranya kerajaan menambahkan beban mereka dengan cukai baharu disaat mereka terbeban dengan kos sara hidup yang tinggi.

“Sekiranya kerajaan terus melaksanakan cukai keatas perniagaan atas talian, kedudukan BN akan terjejas kerana dari segi sokongan golongan muda akan hilang malah lebih satu juta undi (kepada) BN akan hilang pada PRU akan datang.

“Disaat rakyat ketika ini sedang menghadapi peningkatan kos sara hidup, jangan melampau sangat menekan rakyat,” katanya kepada FMT.

IKHLAS menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) supaya membatalkan cadangan tersebut.

Sebaliknya, IKHLAS menggesa Menteri Datuk Seri Hamzah Zainudin supaya turun padang dan menyelesaikan isu-isu pengguna yang belum diselesaikan.

“Menteri KPDNKK jangan terlalu nak menekan rakyat, turun padang selesaikan isu lain dahulu, jangan hanya pandai bercakap tapi kerja tak buat, saya tengok menteri ini sejak dia pegang jawatan banyak bercakap dari buat kerja,” katanya.

Sehubungan itu beliau menyokong cadangan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin supaya satu kajian terperinci dijalankan sebelum melaksanakan cukai tersebut kerana bimbang ia akan memberi kesan kepada peniaga kecil. Sumber