CALON BARISAN NASIONAL PRK SUNGAI BESAR DI UMUM 28 MEI INI.



Barisan Nasional akan mengumumkan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar pada 28 Mei ini.

Calon BN itu nanti akan diumumkan sendiri Timbalan Pengerusi BN Malaysia, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Bilik Gerakan BN PRK P093 di Tali Air 8 Sungai Leman di sini pada jam 4 petang.

Kekosongan kerusi Parlimen Sungai Besar dan Parlimen Kuala Kangsar masing-masing berikutan penyandangnya Datuk Noriah Kasnon yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi dan Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad, terkorban dalam nahas helikopter di Sarawak, pada 5 Mei lepas.

Sebelum itu, Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Md Yunos berkata, Umno Bahagian Sungai Besar menyokong siapa saja calon yang mewakili parti itu setelah mendapat restu daripada kepimpinan tertinggi parti untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar.

Beliau menyerahkan keputusan sepenuhnya kepada kebijaksanaan pucuk pimpinan parti dalam usaha memastikan kerusi itu terus kekal menjadi milik BN.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar diadakan serentak pada 18 Jun iaitu 13 hari selepas penamaan calon pada 5 Jun.