PAS BELUM PUTUSKAN SIAPA CALON PRK SUNGAI BESAR DAN KUALA KANGSAR


PAS belum membuat sebarang ketetapan mengenai calon yang akan diturunkan pada dua pilihan raya kecil (PRK) yang akan diadakan tidak lama lagi.

Ini kerana, menurut Naib Presiden PAS, Idris Ahmad jawatankuasa pusat parti itu belum membuat sebarang perbincangan mengenainya secara khusus.

Bagaimanapun, Idris berkata ia mungkin akan dibincangkan pada mesyuarat bulanan parti itu yang akan berlangsung pada Khamis ini.

“Soal calon saya tak pasti siapa yang akan diketengahkan tetapi pada Khamis ini kami ada mesyuarat bulanan parti dan mungkin (kami) akan membincangkan sekali isu siapa calon bagi dua PRK tersebut, “ kata Idris kepada Malaysiakini.

Hari ini Suruhanjaya Pilihan Raya menyatakan sudah menerima notis rasmi mengenai kekosongan dua kerusi parlimen daripada speaker Dewan Rakyat.

Agensi itu akan mengadakan mesyuarat membincangkan isu itu pada Jumaat ini.

Pilihan raya kecil Kuala Kangsar dan Sungai Besar perlu diadakan ekoran nahas helikopter di Sarawak Khamis lalu yang mengorbankan penyandang kerusi itu.

Mereka ialah Datuk Noriah Kasnon (Sungai Besar) dan Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad (Kuala Kangsar).

Memetik Pengarah Pilihan Raya PAS Datuk Mustafa Ali, Harakahdaily pada Ahad lalu melaporkan PAS akan bertanding di kedua-dua kerusi.

Semalam Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu pula memberitahu Malaysiakini parti itu hanya akan membuat keputusan sama ada akan bertanding atau tidak dalam pilihan raya itu pada 15 Mei ini.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pula mengesahkan parti itu mengenal pasti beberapa individu berpotensi untuk disenaraikan sebagai calon.