WANITA UMNO TANGGUH KARNIVAL SKUAD SAYANG BERIKUTAN INSIDEN HELICOPTER DI SARAWAK


Saya mewakili ahli Pergerakan Wanita UMNO Malaysia melahirkan perasaan dukacita dan bersedih atas insiden helikopter AS350 yang membawa 6 orang penumpang termasuk Ketua Wanita UMNO Bahagian Sungai Besar iaitu YB Datuk Noriah Kasnon, yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, dari Betong untuk ke Kuching yang kini telah disahkan terhempas oleh YAB Perdana Menteri.

Merujuk kejadian ini, Exco Pergerakan Wanita UMNO Malaysia telah bersepakat untuk menangguhkan Karnival Skuad Sayang United yang dijadualkan pada 8 Mei 2016 di Dataran Seri Kemang, Pantai Telok Kemang, Negeri Sembilan.


Walaupun persiapan telah dibuat sepenuhnya dan perancangan kembara lebih kurang 7,000 orang ahli Skuad Sayang dari seluruh Negara akan bermula hari ini dan dijangka 7,000 orang pengunjung lain yang terdiri daripada wakil-wakil NGO, sektor korporat serta penduduk tempatan akan hadir, namun kami berpandangan ini bukan masa yang sesuai untuk meneruskan Karnival Skuad Sayang United.

Saya memohon maaf atas sebarang kesulitan yang timbul atas penangguhan dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak terutama Kerajaan Negeri Sembilan, yang terlibat dalam persiapan menjayakan Karnival Skuad Sayang United ini. In shaa Allah, karnival ini akan diadakan pada satu tarikh yang akan dimuktamadkan kelak di tempat yang sama iaitu di Dataran Seri Kemang, Pantai Telok Kemang, Negeri Sembilan.

 YBHG DATO’ SRI SHAHRIZAT ABDUL JALIL
KETUA PERGERAKAN WANITA UMNO MALAYSIA